UMNO Hang Tuah Jaya sokong Ismail Sabri calon PM

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 17 Oktober – UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya sebulat suara meluluskan usul menyokong Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri ke-10 dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sokongan itu merupakan satu daripada dua usul yang dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, bahagian berkenaan juga menyokong usul untuk mengekalkan calon UMNO di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU15.

“Mesyuarat Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya yang bersidang mengambil ketetapan agar menyokong penuh Ismail Sabri meneruskan tugas sebagai ketua kerajaan bagi melaksanakan agenda membela rakyat.

“Kita juga mengesyorkan agar kerajaan menambah baik sistem kehakiman dan perundangan supaya dikaji dan ditingkatkan integriti serta memberi peluang dan ruang kepada orang yang didakwa dan pembelaan kemuka bukti serta pertahankan hak individu sebagai warganegara Malaysia.

“Selain itu, kita juga memohon Kerajaan Negeri Melaka merancang dan membangunkan sebuah Bandar Baharu Bumiputera di Parlimen Hang Tuah Jaya dan kawasan yang dicadangkan atas tanah Felda di Ayer Keroh,” katanya

Dalam pada itu, Mohd Ridhwan berkata beliau turut menggesa kehendak rakyat dari setiap lapisan diberikan perhatian dan menyokong segala usaha untuk merancakkan ekonomi termasuk Bajet 2023 untuk keselesaan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1979
Kongsi :
Previous post Lelaki ‘naik gila’ atas bumbung rumah
Next post Lapan barangan tersenarai di bawah skim harga maksimum Deepavali
Ubah saiz-+=