UPSR kemungkinan dimansuhkan

0
356
Muslimin menyampaikan anugerah cemerlang UPSR 2019 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Alor Gajah.

LENDU 5 Dis – Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) kemungkinan besar dimansuhkan terus berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang sekarang berada pada peringkat perincian akhir.

Ia sekali gus menjadikan UPSR 2019 sebagai yang terakhir selepas KPM sebelum ini mengambil keputusan membatalkan UPSR pada tahun ini akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, kajian kementerian itu mengenai aspek berkenaan kini berada pada perincian peringkat akhir sebelum membuat keputusan muktamad mengenainya tidak lama lagi.

Murid mempamerkan sijil anugerah cemerlang UPSR 2019 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, Alor Gajah.

“Kemungkinan besar tidak akan ada lagi UPSR pada tahun hadapan dan selama-lamanya…kemungkinan besar kumpulan murid yang menduduki UPSR pada tahun lalu adalah yang terakhir.

“Kementerian sekarang pada peringkat akhir membuat kajian mengenainya dan insya-Allah akan membuat keputusan muktamad tidak lama lagi,” katanya selepas menyampaikan anugerah kepada 148 pelajar cemerlang UPSR 2019 Parlimen Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, semalam.

Seramai 148 bekas murid 38 Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) seluruh Parlimen Masjid Tanah menerima sumbangan wang tunai dan caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Bagaimanapun, KPM tidak membuat kajian sama ada perlu menggantikan UPSR dengan ujian lain yang fungsinya sama dengan UPSR, katanya.

Sebaliknya, pencapaian akademik murid tahun enam dinilai melalui pentaksiran sepanjang masa, ujian esei dan temuduga bagi membolehkan mereka ditempatkan di lima jenis sekolah khusus, katanya.

“UPSR adalah ujian penilaian dan ia boleh dibuat dengan kaedah lain seperti pentaksiran sepanjang masa yang lebih asli dan berterusan sifatnya serta membuka peluang yang lebih luas kepada lebih ramai murid untuk memasuki lima jenis sekolah itu,” katanya.

KPM pada 15 April lalu mengumumkan UPSR dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dibatalkan berikutan pandemik COVID-19.

Pada Jun lalu, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, dilaporkan berkata, kira-kira 400,000 pelajar dijangka memohon menduduki Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) pada September hingga Oktober lalu bagi penempatan ke lima jenis sekolah khusus.

Ia membabitkan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Kolej Vokasional (KV) dan Maktab Tentera Diraja (MTD).

Bagaimanapun, PKSK tidak membabitkan kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) kerana institusi itu mempunyai instrumen sendiri pemilihan murid, iaitu Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM),”

Katanya, PKSK bukan bertujuan menggantikan UPSR dan PT3, sebaliknya mekanisme saringan pemilihan murid bagi memastikan mereka mempunyai ciri-ciri selaras matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), iaitu mengenal pasti potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu merangkumi kecerdasan intelek, emosi dan rohani.