UTeM Julang Kemenangan Berganda di SEIP 2022

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 28 Ogos – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terbukti mampu melahirkan usahawan teknikal apabila merangkul kejayaan berganda pada penyertaannya dalam ‘Structured Entrepreneurial Incubator Program & Pitching Competition (SEIP 2022), baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, dua kejayaan berprestij dirangkul di SEIP 2022 adalah Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) dan naib juara (pitching competition).

“Pencapaian membanggakan itu adalah bukti pelajar kejuruteraan mampu berjaya dalam bidang keusahawanan, sekali gus menyerlahkan lagi kemampuan UTeM dalam melahirkan graduan yang holistik serta memiliki atribut keusahawanan.

“UTeM menghantar empat syarikat inovasi pelajar dengan kerjasama dan sinergi mentor dalam kalangan pensyarah dibawah seliaan Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE), Dr Isma Addi Jumbri selain Penyelaras Program SEIP-UTeM, Dr Mohd Amin Mohamad,” katanya.

Sementara itu Dr Isma Addi berkata, Anugerah Inovasi Terbaik (kategori perkhidmatan) yang dimenangi adalah menerusi projek Smart Baja Using IoT System for Fertigation diwakili pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK) Mohd Adzimnuddin Mohd Nor Azami dengan bimbingan pensyarah mentor UTeM, Ir. Dr. Anas Abdul Latif.

Ujarnya, gabungan idea pelajar dan pensyarah mentor UTeM bersama membangunkan syarikat Eureka Technology Solution (ETS) turut terpilih sebagai naib juara bagi keseluruhan pertandingan yang melibatkan inisiatif padanan perniagaan.

“Produk syarikat ETS yang mewakili inkubator UTeM mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ia mempunyai prospek pasaran yang luas kerana menyediakan sistem pemantauan parameter asas pertanian meliputi suhu baja, cahaya matahari, kelembapan udara serta kelembapan tanah secara dalam talian,” katanya.

Secara keseluruhan SEIP 2022 melibatkan penyertaan 10 institusi pengajian tinggi terpilih dalam negara dan sebanyak lima kluster utama inkubator telah diwujudkan iaitu teknologi digital, sains dan teknologi, industri agro, keusahawanan sosial serta industri kreatif.

SEIP 2022 anjuran KPT dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) merupakan inisiatif program keusahawanan nasional di bawah KPT yang bertujuan membangunkan syarikat pemula (start-up) pelajar berteraskan produk inovasi dan teknologi melalui pelaksanaan inkubator latihan keusahawanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2034
Kongsi :
Previous post Anak Melaka kini bergelar juara dunia – KM
Next post Takwim persekolahan 2023 bermula Mac kekal – Radzi
Ubah saiz-+=