Sorting by

×

Wajibkan sistem reban tertutup bagi ladang unggas lebih 10,000 ekor

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 16 Mac – Kerajaan Negeri mewajibkan pengusaha ladang unggas yang menternak lebih 10,000 ekor agar mengguna pakai sistem reban tertutup.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, syarat itu dikenakan bagi mengelakkan isu pencemaran bau dan serangan lalat menyerang komuniti berhampiran,

Beliau turut meminta setiap ladang unggas di negeri ini agar mengutamakan aspek kebersihan dan amalan pertanian yang baik supaya tidak berlaku isu pencemaran.

“Keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bilangan 3 2019 mewajibkan semua ladang unggas berkapasiti 10,000 ekor menggunakan sistem reban tertutup sepenuhnya dan hanya kapasiti 10,000 ekor ke bawah yang dibenarkan sistem reban terbuka.

“Jabatan Veterinar negeri bersama agensi berkaitan akan terus menjalankan pemantauan dan di mana-mana pengusaha yang tidak mematuhi syarat perlesanan akan dikenakan kompaun dan pembatalan lesen.

“Malah hasil siasatan di atas aduan yang diterima sebelum ini, punca yang berlaku adalah disebabkan penggunaan tinja iaitu pengurusan baja tahi ayam tanpa dirawat digunakan dalam industri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dr. Mohd Yadzil Yaakub (PN-Bemban) pada hari keempat Persidangan Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri ke-15, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata, memandangkan pertukaran sistem reban terbuka menelan kos tinggi, Kerajaan Negeri akan memberi tempoh bersesuaian kepada penternak terlibat untuk melaksanakan sistem itu secara berperingkat.

“Kita akan memberikan tempoh-tempoh bersesuaian kepada ladang ayam sedia ada memandangkan kos yang diperlukan adalah tinggi.

“Tempoh yang diberikan ini bersesuaian dengan kapasiti ladang penternak dan dilaksanakan mengikut kemampuan kewangan dan saya letakkan pembaharuan ini jika mereka (penternak) ada 10 reban sekurang kurangnya empat atau lima reban sedia ada perlulah tertutup,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1152
Kongsi :
Previous post Persatuan sukan di Melaka jangan berpuak-puak
Next post Melaka sedia adakan ‘townhall’ berkaitan projek M-WEZ
Ubah saiz-+=