Wan Zulkiflee individu pertama bukan Amerika dilantik Lembaga Pengarah ExxonMobil

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tenaga, Exxon Mobil yang berpangkalan di Texas, Syarikat (AS).

Pelantikan beliau sekali gus merekodkan individu pertama bukan warga Amerika dilantik dalam perjawatan lembaga pengarah sejak penubuhan syarikat penghasilan tenaga antara terbesar dunia itu 109 tahun lalu.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Exxon Mobil, Darren Woods dalam satu kenyataan semalam berkata, Wan Zulkiflee,60, yang berpengalaman luas antaranya sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines dan DRB-HICOM Berhad dilantik hasil dari pemilihan dan kepakarannya dalam mengendalikan industri tenaga global.

Menurutnya, Petronas ketika diterajui Wan Zulkiflee dalam tempoh 2015 hingga 2020, berjaya merekodkan pendapatan hasil yang memberangsangkan termasuk memperluaskan pelaburan syarikat dalam bidang teknologi pelepasan terendah (low-emission technologies).

“Beliau yang berpengalaman dalam syarikat industri minyak dan gas negara turut menerajui pertumbuhan strategik dalam kemasukan syarikatnya ke bidang bahan kimia asas.

“Kami menyambut baik penyertaan beliau dalam barisan lembaga pengarah kami disebabkan kepakaran industri globalnya yang berpandangan jauh dalam bidang peralihan tenaga sekali gus melengkapkan lembaga kami yang sangat berpengalaman ini,” katanya.

Lantikan Wan Zulkifli dalam perjawatan terbabit telah meningkatkan 11 perjawatan sebagai Pengarah dengan 10 daripadanya adalah Pengarah Bebas dalam syarikat minyak AS itu.

ExxonMobil sebelum ini telah mendapatkan kepakaran ahli lembaga tambahan yang berpengalaman dalam pelbagai bidang meliputi sains iklim, pengurusan aset dan risiko industri serta industri berkaitan lain.

Dari lantikan terbabit, lima pengarah telah dilantik Exxon Mobil sejak 2016 dengan tempoh lantikan kira-kira enam tahun berbanding lapan tahun dalam syarikat S&P 500.

“Exxon Mobil akan terus mengadakan perbincangan bersama calon pengarah yang lain bagi memperkasa pelbagai kemahiran lain yang memberi potensi tambahan kepada lembaga ini,” katanya.

Views:

1240
Kongsi :
Previous post Kilang ditutup, 69 pekerja positif COVID-19
Next post Adab menghormati majlis
Ubah saiz-+=