Wanita cedera parah tong LPG meletup dalam rumah

TASEK GELUGOR, 13 Dis — Seorang wanita cedera parah selepas tong gas petroleum cecair (LPG) meletup di rumahnya di Taman Sena Permai, Pokok Sena, di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira 8 pagi ketika Siti Hajar Hanis Mohd, 26, dikatakan mahu menghidupkan dapur gas untuk memasak.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor Mohamad Hazam Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.13 pagi dan apabila anggota bomba tiba di lokasi, didapati Siti Hajar Hanis yang melecur hampir separuh badan telah dibawa keluar dari rumahnya oleh orang awam.

“Kejadian menyebabkan rumah teres dua tingkat didiami wanita itu rosak teruk dan dia dihantar ke Hospital Kepala Batas, di sini untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihak bomba seterusnya menjalankan pemantauan dan kawalan bagi memastikan tiada letupan susulan manakala punca serta anggaran kerugian sedang disiasat lanjut.

Mohamad Hazam berkata letupan turut mengakibatkan sebuah kereta dan motosikal yang diletakkan di ruang hadapan rumah itu mengalami kerosakan.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Haziq Mohd, 25, berkata dia dan isterinya sedang berada di bilik tidur di tingkat atas rumah itu sebelum tiba-tiba terdengar letupan kuat serta siling bilik terjatuh.

“Pada masa sama saya dengar kakak (Siti Hajar Hanis) menjerit minta tolong, saya dan isteri terus turun dan mendapati dia dalam keadaan terbakar… kami terus bantu padamkan kebakaran di badannya sebelum bawa kakak keluar dari rumah seterusnya terus ke hospital,” katanya.

Menurut Mohd Haziq, Siti Hajar Hanis dilaporkan kritikal namun dalam keadaan stabil selain pemeriksaan awal oleh doktor mendapati dia melecur lebih 69 peratus di bahagian badan.

“Ibu dan ayah berada di kampung, saya dan isteri pula baru berkahwin Sabtu lepas dan malam tadi kami tiba di rumah. Mujur kami balik, kalau kami tiada di rumah, tidak tahu bagaimana keadaan kakak seorang diri di rumah.

“Memang menjadi rutin kakak akan masak setiap pagi kerana dia bekerja dari rumah, kami harap kakak cepat baik kerana dia akan akad nikah pada 22 Jan nanti dan kenduri kami akan diadakan serentak pada 28 Jan tetapi semua kini bergantung keadaan kesihatan kakak,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1381
Previous post Bendera terbalik: Lelaki Bangladesh didenda RM3,500 sengaja bangkitkan kemarahan awam
Next post Bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah ubah wang haram