Wanita didakwa tipu ahli perniagaan berhubung pembekalan 21 unit kereta import terpakai
KUALA LUMPUR, 2 April – Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan berhubung urusan pembekalan 21 unit kereta import terpakai pelbagai jenama, enam tahun lepas.
Nur Luzianna Mohd Ramalan, 36, didakwa menipu Abdul Wahab S Mohd Mydin, 55, sehingga mendorong mangsa membuat pembayaran sebanyak RM1,409,000 ke dalam dua akaun bank miliknya di sebuah restoran di pusat beli-belah, Brickfields antara 6 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak menawarkan jaminan RM200,000 namun peguam Luqman Hakim Azhar memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak bekerja selain tiada risiko melarikan diri.
“Anak guam saya kini mengandung dua bulan dan mempunyai tiga anak berumur antara enam tahun hingga 16 tahun,” kata peguam itu.
Hakim Azrul Darus membenarkan Nur Luzianna diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah dan dia dikehendaki melapor diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Sebutan kes ditetapkan pada 2 Mei ini.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.