Wanita Myanmar ditahan, ‘kantoi’ guna identiti orang lain dapatkan vaksin COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 2 Sept – Seorang wanita warga Myanmar ditahan ketika mendapatkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 di sebuah klinik di Melaka Tengah di sini, pada 18 Ogos lalu kerana dipercayai menggunakan identiti orang lain.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Superintendan E Sundra Rajan berkata, suspek berumur 27 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 petang selepas didapati menggunakan pendaftaran vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera yang didaftarkan milik seorang pekerja lelaki dari sebuah syarikat percetakan di Cheng, di sini.

“Kejadian itu disedari mangsa yang juga warga asing berusia 30-an yang memeriksa maklumat penerimaan vaksin dalam aplikasi tersebut, telah dikemas kini dan tercatat telah mengambil dos pertama.

“Lelaki itu telah mengadu hal tersebut kepada majikannya sebelum majikan berkenaan membuat laporan polis yang mendakwa identiti pekerjanya telah digunakan oleh pihak ketiga untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya telah merampas satu kad vaksin atas nama suspek, i-kad bertulis ‘Malaysia Immigration Regulations 1963 Visit Pass’ yang dipercayai palsu, satu salinan kad pasport yang telah tamat tempoh dan telefon bimbit suspek.

Beliau berkata pihaknya mendapati klinik swasta terbabit telah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan untuk memberi suntikan vaksin COVID-19.

Katanya, suspek direman selama 17 hari bermula 19 Ogos hingga 4 September bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dengan jalan samaran dan menggunakan identiti individu lain bagi pendaftaran vaksin COVID-19 melalui aplikasi MySejahtera.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post Fasa 2 PPN: Jangan ambil mudah perlaksanaan SOP – KM
Next post Hilang bapa, mentua angkara COVID
Ubah saiz-+=