Wanita UMNO Masjid Tanah khatam al-Quran

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

MASJID TANAH 2 Mei. – Seramai 30 Ahli Jawatankuasa dan Ketua Wanita UMNO Parlimen Masjid Tanah berjaya mengkhatamkan al-Quran hari ini.

Isteri Ketua Menteri Datin Seri Utama Munira Md. Yusop berkata, program tahunan itu sekali gus mampu menyahut seruan agama bagi mengimarahkan Ramadan.

 

MUNIRA (tengah) bersama mengkhatamkan al Quran .

“Ramadan adalah bulan terbaik untuk kita meningkatkan amal kebaikan yang bukan saja pada amalan wajib, malah amalan sunat juga yang mana kita digalakkan bersedekah dan memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

“Saya merakamkan rasa syukur dan dengan rendah hati memohon maaf dan tahniah kepada jawatankuasa ini bagi melaksanakan acara ini sekali gus mampu membuka ukhuwah baharu yang perlu disemai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapannya merasmikan Program Khatam Tadarus al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Ibu Tunggal sempena Aidilfitri Wanita Parlimen Masjid Tanah 2021 di Masjid Salmah Khamis, di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar berkata, program tadarus al-Quran sekali gus dapat mengimarahkan masjid bagi dipenuhi dengan acara bermanfaat di bulan Ramadan.

Katanya, program tersebut dimulakan sejak 17 April lalu dan berjalan sehingga hari ini sebagai penutupan untuk mengkhatamkan al-Quran yang disertai 30 wanita di kawasan itu.

“Alhamdulillah program yang diadakan ini berjalan dengan lancar seperti yang kita harapkan dan semoga ia dapat merapatkan jurang persaudaraan dalam kalangan jawatankuasa yang menyertai program ini.

“Kita menyasarkan pelbagai program yang bermanfaat seperti ini dianjurkan Wanita Masjid Tanah sekali gus merapatkan tali persaudaraan antara pemimpin dan masyarakat di kawasan ini,” katanya.

Pada program itu juga seramai 25 ibu tunggal menerima bantuan kit makanan dan wang tunai yang disampaikan Munira dan Latipah pada penutup acara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

971
Kongsi :
Previous post Remaja lelaki lemas terjatuh di laut selepas menjaring
Next post Program mengimarahkan masjid, surau perlu diperkasa, tarik orang muda
Ubah saiz-+=