Wanita warga asing Singapura maut dalam insiden van jatuh cerun di Balik Pulau
BALIK PULAU, 24 Sept – Seorang wanita warga Singapura maut manakala 10 lagi cedera dalam insiden van pelancong terbabas sebelum terjatuh ke cerun berkedalaman lebih enam meter di Bukit Genting di sini malam ini.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau N. Prenavaran berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada 8.20 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.
“Sejurus tiba, didapati tempat kejadian merupakan kawasan berbukit dan jentera bomba tidak dapat masuk… anggota bomba terpaksa mendaki bukit selama 15 minit dengan membawa usungan dan peralatan kecemasan.
“Didapati seorang wanita telah meninggal dunia, tujuh lagi masih tersepit dalam kenderaan manakala tiga telah dinaikkan ke tempat selamat dengan bantuan orang awam,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata pihak bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk memotong papan pemuka dan stereng van itu untuk menyelamat wanita yang tersepit di sebelah tempat pemandu.
“Operasi selesai pada kira-kira 10.45 malam selepas mangsa terakhir dikeluarkan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintenden Kamarul Rizal Jenal pula berkata terdapat 11 mangsa iaitu lapan wanita dan tiga lelaki dengan 10 daripada mereka adalah pelancong warga Singapura manakala pemandu van ialah lelaki tempatan.
Beliau berkata identiti mangsa masih belum dikenal pasti namun mereka dipercayai terdiri darupada sekumpulan warga emas yang sedang bercuti di Pulau Pinang.
“Seorang wanita warga Singapura ditemukan mati di tempat kejadian manakala 10 mangsa lagi yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan Hospital Balik Pulau untuk menerima rawatan,” katanya.
Kamarul Rizal juga berkata punca insiden itu masih dalam siasatan dan proses bedah siasat mangsa yang terkorban akan dilakukan esok.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.