Waspada taktikal dari ‘Jerman’

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PAYA RUMPUT 6 Nov. – Pengendali Melaka United Zainal Abidin Hassan meminta anak buahnya berwaspada dengan ancaman Selangor menjelang aksi pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, Ahad ini.

Menurutnya, ia kerana Selangor yang dipimpin jurulatih baharu dari Jerman, Michael Feichtenbeiner kini dipercayai sudah berubah wajah, berbeza dengan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sebelum ini yang berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Beliau bagaimanapun yakin dengan kemampuan skuad kesebelasan utama yang akan dipilihnya nanti untuk memberikan saingan sengit terhadap pasukan lawan yang juga merupakan juara 33 kali Piala Malaysia.

“Saya tak menafikan kita bertarung dengan pasukan gergasi yang sudah menjuarai 33 kali Piala Malaysia, jika diimbas kembali dalam Liga Super, pemain mempamerkan mutu terbaik tetapi dengan jurulatih baru Selangor kita tahu taktikal akan berlainan.

“Jadi, sebab itu kita telah mempersiapkan pasukan secara rapi kerana ini juga adalah perlawanan kalah mati dan hanya keputusan menang yang akan membawa pasukan ke pusingan seterusnya,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hang Jebat, semalam.

Mengulas lanjut, Zainal berkata pasukannya kini telah bersedia dengan senjata yang lebih ampuh untuk membolehkan skuad Hang Tuah melepasi pusingan pertama dengan kejayaan.

Justeru, beliau mengharapkan pemain menunjukkan mutu permainan dan disiplin tinggi sepanjang perlawanan bagi merealisasikan impian pasukan mara lebih jauh dalam kempen kali ini.

“Bagi saya sesiapa yang menyarung jersi Selangor akan ada kelebihan kerana bermain dengan pasukan gergasi tetapi saya beritahu pemain (Melaka United) bahawa mereka kena berikan persembahan yang baik untuk memenangi perlawanan itu nanti,” katanya lagi.

Untuk rekod, sejak dipimpin Feichtenbeiner, Selangor menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan apabila memenangi dua perlawanan terakhir Liga Super dengan kemenangan besar.

Terdahulu, skuad yang terkenal dengan gelaran Gergasi Merah itu menang 7-0 ke atas PDRM FA dan 6-1 ke atas Felda United FC untuk membolehkan mereka naik ke tangga kelima Liga Super.

Views:

622
Kongsi :
Previous post Tuntut pemaju sediakan pampasan
Next post Melaka anjur Karnival Kerjaya awal 2021
Ubah saiz-+=