WHO sedang bincang dengan Rusia mengenai vaksin Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

GENEVA 12 Ogos – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang dalam perbincangan dengan Rusia mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin COVID-19 pertama di dunia, lapor agensi berita Xinhua, memetik jurucakap WHO pada Selasa.

“Kami kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan perbincangan masih berjalan mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin berkenaan oleh WHO,” kata jurucakap WHO Tarik Jasarevic dalam taklimat media secara maya.

“Pra kelayakan daripada mana-mana vaksin melibatkan tinjauan dan penilaian yang ketat terhadap semua data yang diperlukan untuk keselamatan dan keberkesanan” dalam ujian klinikal, kata Jasarevic, sambil menambah di peringkat WHO, proses ini adalah serupa bagi setiap calon vaksin.

“Setiap negara mempunyai badan pengawasan nasional yang  meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya,” katanya. “Pengilang memohon pra kelayakan WHO kerana ia membuktikan piawaian kualiti.”

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa berkata negaranya telah mendaftarkan vaksin melawan COVID-19 pertama di dunia.

Putin berkata beliau berharap pengeluaran massa vaksin yang telah didaftarkan di Rusia akan bermula dalam waktu terdekat, dan pemvaksinan tersedia untuk orang ramai di negara ini secara sukarela.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatyana Golikova berkata beliau berharap pengeluaran vaksin itu akan dimulakan pada akhir Ogos atau awal September dan pekerja kesihatan akan menjadi yang pertama diberi vaksin.

-BERNAMA

Views:

234
Kongsi :
Previous post Lindungi premis haram: empat penguat kuasa MBSA direman tujuh hari
Next post PPSPM bakal bina satu lagi Kapal Mendam Berahi
Ubah saiz-+=