PPSPM bakal bina satu lagi Kapal Mendam Berahi

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

KOTA LAKSAMANA 12 Ogos – Bagi menampung permintaan menggalakkan dalam kalangan pelancong yang ingin merasai pengalaman ‘berlayar’ di atas kapal Mendam Berahi, Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) kini dalam perancangan menyediakan sebuah lagi kapal berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, perancangan pembinaan itu bukan sahaja untuk menampung permintaan malah mempertingkatkan perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC).

Beliau berkata, mereka yang menaikinya turut dapat menikmati makan malam di atasnya sambil melihat keindahan panorama waktu malam sepanjang laluan.

“Perancangan pembinaan satu lagi kapal itu sebagai langkah untuk mengelak permintaan Mendam Berahi ‘mati’ sekiranya kapal sedia ada berlaku kerosakan kerana MRC kini hanya mempunyai satu kapal Mendam Berahi.

“Selepas diperkenal pada hujung tahun lepas ia mendapat permintaan menggalakkan termasuk selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ianya akan cuba disiapkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra PPSPM Bersama Media di atas Kapal Mendam Berahi di Sungai Melaka, malam tadi.

Hadir sama, Pemangku Ketua Eksekutif PPSPM Khairunnisa Ibno Masooda dan Ketua Pegawai Operasinya Abdul Wahab Ibrahim.

Muhammad Jailani berkata, kapal itu direka dan diadaptasi daripada kehebatan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mempunyai kepakaran dalam bidang perkapalan selain bagi memperingati kemahsyuran serta kehebatannya yang digunakan Laksamana Hang Tuah.

“Kapal berkeluasan enam meter lebar dan 18.2 meter panjang itu mampu menampung kira- kira 20 orang pada satu masa,” katanya.

Views:

485
Kongsi :
Previous post WHO sedang bincang dengan Rusia mengenai vaksin Covid-19
Next post Covid-19: Jabatan Kesihatan Melaka nafi wujud Kluster Ayer Keroh
Ubah saiz-+=