
WRUR: SEKOLAH RENDAH DI SUNGAI UDANG DAPAT RM1,000 PUPUK BUDAYA MEMBACA
SUNGAI UDANG 20 Mei – Semua sekolah rendah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang diberikan peruntukan RM1,000 setiap sekolah bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan muridnya.
Perkara itu diumumkan Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin pada Program Komuniti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR): Perpustakaan Dihatiku, Buku Sahabatku di Perpustakaan Desa Bertam Hulu, hari ini.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, peruntukan tersebut akan disalur terus kepada sekolah bagi menganjurkan apa juga aktiviti atau program bagi menggalakkan anak murid menjadi membaca sebagai amalan.
“Saya minta perkara ini diselaraskan oleh pihak sekolah dan dibantu Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka, di mana saya mahu memastikan peruntukan ini digunakan khusus untuk kempen ataupun program bagi menarik minat murid untuk membaca.
“Ini adalah satu usaha yang digerakkan memandangkan aspek pendidikan mesti menjadi suatu keutamaan terutama di peringkat akar umbi,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.
Hadir sama, Pengarah PERPUSTAM Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.

Terdahulu pada majlis itu, Rais telah menyampaikan sumbangan berkenaan kepada dua buah sekolah pertama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Hulu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Hulu.
Dalam pada itu, Rais memaklumkan, Perpustakaan Desa Bertam Ulu yang mula dibina pada tahun 2002, kini berwajah baharu selepas ia dinaik taraf dengan peruntukan berjumlah RM200,000 pada tahun lalu.
Menurut beliau, perpustakaan itu menjadi antara fasiliti yang disediakan kerajaan dalam membantu masyarakat menambah ilmu pengetahuan, di samping menarik minat anak-anak untuk mencintai buku sejak dari kecil.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.