14 kampung di Melaka dinaik taraf sebagai Kampung Digital

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

TANJUNG BIDARA 5 Disember – Sebanyak 14 daripada 701 kampung tradisional di Melaka selesai dinaik taraf sebagai Kampung Digital setakat 25 November lalu.

Projek perintis itu selari dengan hasrat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, yang ingin menambah baik sistem pengurusan penduduk serta pentadbiran kampung yang sebelum ini terikat dengan kaedah konvensional.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata daripada jumlah itu, enam daripadanya membabitkan daerah Alor Gajah iaitu Kampung Pulau, Kampung Seri Jeram, Kampung Felda Hutan Percha, Kampung Baru Cina Machap Baru, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Lekok.

Katanya, empat lagi membabitkan daerah Melaka Tengah iaitu Kampung Paya Rumput, Kampung Tanjung Minyak, Kampung Bukit Kecil Pernu dan Kampung Tun Razak manakala empat lagi membabitkan daerah Jasin iaitu Kampung Lipat Kajang, Kampung Tersusun Datuk Mohd Hidhir, Kampung Seri Kesang serta Kampung Kesang Jaya.

“Sekarang ini Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) di daerah masing-masing sedang berurusan dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk memberi taklimat kepada ketua-ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengenai peralihan kampung yang seterusnya.

“Untuk makluman sehingga 24 November sebanyak 14 kampung di tiga daerah sudah selesai dan perbincangan giat diadakan bersama wakil rakyat tentang peralihan kampung seterusnya contohnya kampung mana yang kita akan dahulukan.

“Kerajaan Negeri juga melalui Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi sedang dalam proses permohonan harta intelek (IP) untuk hak milik kampung digital. Malah Ketua Menteri sendiri berhasrat sekiranya boleh kesemua pendigitalan kampung ini akan selesai pada 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ab Rauf  menyampaikan Bayaran Insentif Sara Hidup One-Off Kepada Nelayan Negeri Melaka, di Kompleks Japerun Tanjung Bidara, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, pihaknya juga kini dalam usaha menambah baik dan menyelesaikan pemasangan rangkaian telekomunikasi di seluruh Melaka membabitkan liputan rangkaian internet 4G dan 5G.

“Selaku Exco bertanggungjawab kita akan memantau dengan lebih dekat dan untuk sekarang ini kita dalam usaha mempercepatkan kelulusan yang sekiranya sebelum ini tempoh diberikan 26 minggu tetapi sekarang dalam empat minggu sudah dapat diselesaikan.

“Kita juga sering mengadakan mesyuarat untuk sama-sama seleraskan permohonan di peringkat Melaka ICT Holdings (MICTH), pihak berkuasa negeri dan juga berkuasa tempatan, sekiranya ada sebarang kelewatan kita akan selesaikan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6154
Kongsi :
Previous post Keuzuran bapa pembakar semangat Mohamad Haiqal Danial
Next post 30 usahawan kampung pelajari platform e-dagang
Ubah saiz-+=