2 juta dos vaksin akan diagih di Lembah Klang, Negeri Sembilan- Muhyiddin

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

KLANG 13 Julai – Sebanyak dua juta dos vaksin COVID yang dijangka tiba hujung bulan ini akan diagihkan ke kawasan Lembah Klang meliputi Selangor dan Kuala Lumpur serta Negeri Sembilan untuk mula digunakan pada awal Ogos nanti.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, agihan itu akan dibuat bagi membantu mempercepatkan usaha mengawal penularan jangkitan COVID-19 di kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata bagi tujuan yang sama, kesemua Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) sedia ada akan dioperasikan pada setiap hari dengan tambahan petugas telah dan sedang diuruskan oleh Kementerian Kesihatan.

 

MUHYIDDIN pada sidang media selepas melawat Bahagian Kecemasan serta Jabatan Forensik HTAR. Foto Facebook PM.

“Mengambil kira kehadiran pesakit yang menghadapi masalah pernafasan, CAC juga akan dilengkapkan dengan keperluan oksigen sementara pesakit menunggu rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan hospital,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata berdasarkan data pada 11 Julai keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di Selangor berjumlah 286,352 orang manakala bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya pula sebanyak 88,958 orang.

“Jumlah ini merangkumi 45 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di negara ini,” katanya.

Beliau berkata bagi kes kematian akibat COVID-19 pula, jumlah yang dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah sebanyak 2,700 orang iaitu 44 peratus daripada keseluruhan kes kematian yang didaftarkan di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

473
Kongsi :
Previous post KPDNHEP sasar sekurang-kurangnya 500,000 petugas barisan hadapan runcit sertai RiVAC
Next post Syarikat minyak sumbang 700 kit makanan bantu rakyat Melaka
Ubah saiz-+=