25 ahli PVATM terima sumbangan

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Seramai 25 pesara tentera yang juga tercedera ketika operasi menghadapi serangan musuh komunis menerima sumbangan Kempen Tabung Pahlawan 2020.

Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (PVATM) Melaka, Datuk Seri Mohamad Fazil Shafie berkata jumlah sumbangan yang membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM7,500 itu bagi mengurangkan beban pesara tentera yang terpaksa bergadai nyawa demi mencapai kemerdekaan kepada negara.

“Semua rakyat Malaysia perlu mengingati jasa dan pengorbanan mereka, ada yang putus kaki, putus tangan malah peluru masih ada dalam badan juga ada,” katanya selepas menyampaikan sumbangan berkenaan.

Beliau berkata, persatuan itu turut memberikan bantuan kepada lebih 100 ahli persatuan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, setakat ini seramai 12,000 pesara tentera di negeri ini mendaftar menerusi persatuan itu dan pihaknya akan mengenal pasti ahli persatuan yang memerlukan bantuan.

“Sebenarnya dalam tahun ini kita sudah memberikan sumbangan khas berbentuk barangan keperluan asas kepada lebih 400 warga PVATM yang terkesan akibat Covid-19 malah sehingga kini sumbangan masih diteruskan.

“Kita masih ada lagi kira-kira 100 bungkus bekalan untuk diagihkan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazil turut menyeru badan korporat dan ahli perniagaan serta rakyat Malaysia untuk terus menghulurkan sumbangan kepada Kempen Tabung Pahlawan bagi membantu bekas tentera meneruskan kehidupan.

“Kita berharap sempena 31 Julai iaitu Hari Pahlawan, dapatlan mereka memberikan sumbangan bagi sekurang-kurangnya meringankan beban bukan sahaja kepada pesara tentera malah balu pejuang yang terkorban ketika dalam operasi,” katanya.

Bagi Husin Mahbeb, 72 dia terharu masih ada pihak yang menghargai jasa dan pengorbanannya berbakti kepada negara meskipun negara sudah mencapai kemerdekaan lebih tiga dekad lalu.

“Pejuang veteran seperti kami ini memang mengharapkan sumbangan lebih-lebih yang kurang upaya seperti saya, yang tidak mampu bekerja selepas kaki kudung akibat terkena jerangkap samar,” katanya.

Views:

322
Kongsi :
Previous post Peruntukan RM177,636 caruman buat pengayuh beca, pemandu teksi
Next post Pelbagai insentif buat pencarum Perkeso
Ubah saiz-+=