25 rakyat Malaysia dari Nigeria selamat tiba di tanah air

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 12 Julai – Seramai 25 rakyat Malaysia di Lagos, Nigeria selamat tiba di tanah air pada jam 9.15 pagi semalam dengan penerbangan repatriasi yang diatur oleh kerajaan negara itu melalui pesawat Air Peace.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata kepulangan kumpulan kedua rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria dengan kos pembiayaan penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

“Pada kesempatan ini, saya bagi pihak kerajaan Malaysia ingin merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nigeria yang telah membantu menjayakan kepulangan kumpulan rakyat Malaysia berkenaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sebelum ini, 27 orang rakyat Malaysia di Nigeria telah pulang ke tanah air pada 24 Jun lepas menerusi penerbangan repatriasi anjuran kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut kenyataan itu, pesawat hari ini turut dinaiki 67 penumpang dari pelbagai negara yang terkandas di Nigeria sejak penularan pandemik COVID-19 termasuk sembilan warganegara Australia; Brunei (tiga); China (satu); Filipina (tiga); Indonesia (satu) dan Kanada (satu).

Enam warganegara Nigeria serta seorang dari Pakistan; Singapura (1); Taiwan (9) dan 32 warganegara Thailand turut berada dalam pesawat itu yang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air masing-masing dengan penerbangan komersial yang dijadualkan.

Dalam kenyataan sama, Kamarudin, yang juga Pengerusi Pasukan Petugas COVID-19 Kementerian Luar, turut memaklumkan seramai 11 pelajar Malaysia dari Khartoum, Sudan telah pulang ke tanah air melalui penerbangan repatriasi Emirates Airlines di KLIA pada jam 3.44 petang semalam.

Katanya, kepulangan sekumpulan rakyat Malaysia itu telah dimudah cara oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dengan kos pembiayaan penerbangan ditanggung secara persendirian oleh penumpang.

Kamarudin berkata Kementerian Luar melalui Perwakilan-Perwakilan Diplomatik Malaysia di luar negara akan terus memantau situasi semasa serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam usaha memberi bantuan sewajarnya kepada rakyat Malaysia yang terkesan dengan COVID-19.

– BERNAMA

Views:

389
Kongsi :
Previous post Tiket percuma ke Melaka Wonderland buat ‘frontliners’
Next post Buka sempadan langkah akhir dilaksanakan kerajaan dalam memerangi Covid-19
Ubah saiz-+=