33 lokasi pelancongan tawar diskaun buat anak Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SERI NEGERI 1 Mac – Kempen Melakan Visit Melaka Packages 4.0 diperluaskan bagi menarik lebih ramai anak jati negeri ini memperkasa industri pelancongan Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, kempen kali keempat dilancarkan itu akan bertambah sebanyak 33 lokasi pelancongan di Melaka dengan diberi diskaun sehingga 57 peratus.

Jelasnya, kempen dilaksanakan susulan kesinambungan yang dijalankan sebelum ini yang menerima lebih dari sasaran kerajaan negeri iaitu 5.6 juta pelancong setahun.

“Kempen Promosi Melakan Visit Melaka Packages 1.0 telah dilancarkan bermula pada 8 November 2020 yang bertujuan untuk memulihkan pelancongan serta menggalakkan rakyat Melaka untuk bercuti di dalam negeri sendiri.

“Kemudian, sekali lagi pada 21 November 2020, Kerajaan Negeri Melaka juga telah melancarkan Kempen Promosi Melakan Visit Melaka Packages 2.0 dan sebanyak 58,465 pakej pelancongan telah terjual dengan jumlah pendapatan sebanyak RM459,948.00 sehingga 31 Disember 2020.

“Disebabkan sambutan yang amat menggalakkan, kempen ini diteruskan kepada Kempen Melakan Visit Melaka 3.0 yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2021 dengan jumlah jualan pakej sebanyak 92,870 dengan jumlah pendapatan sebanyak RM1,734,815.90,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Kempen Melakan Visit Melaka Packages 4.0 diadakan di Seri Negeri, di sini hari ini.

KETUA Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menunjukkan poster Melakan Visit Melaka 4.0 pada sidang media di Seri Negeri, Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis.

Beliau berkata, kempen kali keempat itu diteruskan memperluaskan daripada 24 kepada 33 lokasi pelancongan yang menawarkan sehingga 57 peratus diskaun buat anak Melaka.

“Kesemua anak Melaka hanya perlu datang ke lokasi ditetapkan dan menunjukkan kad pengenalan di kaunter tiket untuk mendapatkan potongan diskaun.

“Malah inisiatif ini juga dibuka kepada penjawat awam di negeri ini dengan hanya menunjukkan kad pekerja bagi mendapatkan potongan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Jailani berkata, pelbagai usaha akan dilaksanakan kerajaan negeri dalam memartabatkan industri pelancongan Melaka selepas dilanda wabak pandemik COVID-19.

“Kita ada pelbagai perancangan lain termasuk tawaran diberikan buat seluruh rakyat Malaysia untuk datang ke Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1549
Kongsi :
Previous post Johor tarik pelabur melalui Minggu Johor di Dubai
Next post Ops Tapis Khas: 103 individu ditahan
Ubah saiz-+=