Ops Tapis Khas: 103 individu ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 1 Mac- Seramai 103 individu termasuk tujuh wanita ditahan dalam siri tangkapan Ops Tapis Khas di sekitar Melaka pada 23 Feb hingga 25 Feb lalu.

Semua individu berusia antara 16 hingga 60 tahun itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) di sekitar Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

Ketua JSJN negeri, Superitendan Zulkiflee Rashid berkata, tujuan utama operasi berkenaan adalah untuk membanteras aktiviti penyalahgunaan dan penagihan dadah di kawasan Felda dan kawasan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Katanya,sepanjang tempoh tiga hari Ops terbabit, dadah yang berjaya dirampas adalah jenis heroin seberat 63.99 gram, syabu seberat 46.71 gram, ganja (0.31 gram), cecair ketum sebanyak 2.40 liter dan daun ketum sebanyak 800 gram.

“Ops Tapis Khas JSJN ini melibatkan JSJN ketiga-tiga daerah bersama JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penagihan dadah di kawasan Felda dan kawasan Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) seluruh Melaka.

“Tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 juga diambil terhadap pengedar dadah tersebut dengan melibatkan nilai sitaan RM22,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Zulkiflee berkata mengikut pecahan individu yang ditangkap, seramai empat individu ditangkap di bawah Seksyen 39 B, lima individu di bawah Seksyen 39A (1) dan 53 yang ditahan di bawah Seksyen 12(3).

Jelasnya, turut ditahan dua individu di bawah Seksyen 6, tiga individu di bawah Seksyen 30(3) dan 26 individu di tangkap di bawah Seksyen 15(1). Kesemua Seksyen diatas melibatkan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Seramai enam individu ditangkap dan diambil tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (LPPK) 1985 manakala empat individu lagi ditangkap kerana dikehendaki,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

825
Kongsi :
Previous post 33 lokasi pelancongan tawar diskaun buat anak Melaka
Next post Salhah Salleh dilantik Pegawai Kewangan Negeri Melaka yang baharu
Ubah saiz-+=