41 asnaf ceburi bidang pertanian, tingkatkan taraf hidup

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

KESIDANG 27 Jun- Seramai 41 asnaf dibantu memulakan perniagaan dalam bidang pertanian bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing.

Pegawai Unit Pembangunan Asnaf MAIM, Tarmizi Ab Karim berkata semua asnaf itu diberi peluang menyertai Program Perintis Usahawan Aspirasi Milagro anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

Katanya, program tersebut yang juga hasil inisiatif dengan sebuah syarikat pengeluar baja, Milagro yang memberi bimbingan sepenuhnya bagi membangunkan potensi ekonomi golongan asnaf Negeri Melaka.

“MAIM memperuntukkan RM500 bagi setiap peserta program bersama Milagro, dan pihak Milagro akan membekalkan kit baja bersama banting dan pelbagai bahan lain untuk peserta memulakan perniagaan.

“Ia sedikit sebanyak dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka (golongan asnaf), serta membuka peluang untuk mereka beridiri di atas kaki sendiri sekaligus melahirkan pembayar zakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian program itu di Wisma Haji Mat di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tarmizi berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 asnaf dapat keluar dari kepompong kemiskinan dalam tempoh setahun.

Jelasnya, pihak MAIM turut akan memberikan bantuan kewangan buat asnaf yang mahu meniaga bermula dari RM500 hingga RM10,000 bergantung kepada keperluan.

“Program seumpama ini akan dibuka kepada golongan asnaf, dan mereka boleh memilih bidang apa yang mereka mahu untuk mulakan perniagaan.

“Sebelum ini ada peserta menyertai bengkel jahitan, kebersihan, perusahaan makanan dan hari ini dalam bidang pertanian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

942
Kongsi :
Previous post Asap misteri resahkan penduduk Krubong Jaya
Next post Pengamal industri Melaka perlu aktif CSR kitar semula
Ubah saiz-+=