58 kes positif kluster di Hospital Alor Gajah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Sebanyak lima kematian dan 58 lagi dikesan positif dalam kalangan pesakit dan petugas kesihatan Hospital Alor Gajah membabitkan kluster baharu, Kluster Paya Datuk.

Exco Kesihatan Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, hospital berkenaan mula menerima dan merawat pesakit COVID-19 sejak dua minggu lalu.

“Bagaimanapun, pada 10 Julai lalu, terdapat dua kes melibatkan kakitangan Wad 2A Hospital Alor Gajah dilaporkan.

“Saringan kontak dalam kalangan kakitangan, kontak keluarga serta pesakit telah dijalankan dan sehingga hari ini, jumlah keseluruhan positif adalah 58 kes.

“Daripada jumlah itu, seramai 16 orang kakitangan, 32 orang pesakit dan 10 orang ahli keluarga adalah positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu berkata, punca jangkitan kluster berkenaan masih dalam siasatan.

“Terdapat lima kematian kes COVID-19 dalam kluster ini dan semuanya melibatkan pesakit berusia lebih 60 tahun,” katanya.

Berikutan itu, Rahmad berkata, bagi menangani penularan kluster berkenaan, pihak pengurusan Hospital Alor Gajah dan Jabatan kesihatan Negeri (JKN) Melaka telah mengambil beberapa tindakan.

Jelasnya, antaranya termasuk menjalankan aktiviti pengesanan dan saringan kontak dengan segera.

“Kemasukan pesakit ke Wad 2A dan 2B ditangguhkan sehingga kerja-kerja sanitasi dijalankan dan keadaan penularan adalah terkawal.

“Selain itu, semua kes yang bukan COVID-19 dirujuk ke Hospital Melaka dan Hospital Angkatan Tentera (HAT) di Kem Terendak.

“Manakala bagi pesakit yang kes ringan serta bukan kecemasan digalakkan untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Alor Gajah dan klinik berhampiran,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1086
Kongsi :
Previous post Melaka catat 11 kematian, tertinggi setakat ini
Next post Kluster industri sumbang peningkatan kes di Melaka
Ubah saiz-+=