Kluster industri sumbang peningkatan kes di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 17 Julai – Empat kluster baharu direkodkan hari ini dengan tiga membabitkan jangkitan pekerja industri manakala satu dalam kalangan komuniti.

Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), tiga kluster baharu melibatkan jangkitan tempat kerja adalah Kluster Industri Jalan Usaha 13 dengan jumlah kes baharu sebanyak 29 kes hasil saringan 220 individu termasuk 40 kontak rapat.

Berikutan itu kilang di Jalan Usaha 13, Batu Berendam diarahkan tutup sehingga 29 Julai bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Kluster baharu kedua membabitkan industri adalah Kluster Industri Lot Lima Baru Berendam dengan 34 kes baharu hasil saringan 852 orang.

“Sebanyak 34 kes positif direkodkan dan 83 kontak rapat dikesan dan kilang di jalan berkenaan ditutup sebingga 26 Julai ini.

“Kluster berikutnya adalah Kluster Industri Lot 11 Tangga Batu dengan jumlah kes baharu direkodkan sebanyak 150 kes, hasil saringan 585 individu.

“Kilang  berkenaan kemudian diarahkan tutup sehingga 28 Julai,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, JKN memaklumkan satu lagi kluster baharu adalah komuniti yang dikategorikan kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Paya Datuk di Hospital Alor Gajah dengan 58 kes hasil saringan 295 individu.

“Kluster berkenaan menular di daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, JKN turut memaklumkan Melaka merekodkan 569 kes harian baharu menjadikan jumlah kes aktif di negeri ini sebanyak 4,356.

Terdahulu, Melaka Hari Ini melaporkan Melaka mencatatkan 11 kematian kes harian COVID-19, angka tertinggi pernah direkodkan setakat ini.

Kes kematian itu membabitkan individu berusia antara 31 hingga 82 tahun iaitu tujuh kes di daerah Melaka Tengah manakala tiga lagi di daerah Jasin dan satu kes di Alor Gajah.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1019
Kongsi :
Previous post 58 kes positif kluster di Hospital Alor Gajah
Next post Surat MITI tidak diterima di SJR 18 hingga 21 Julai – KPN
Ubah saiz-+=