Sorting by

×

SAMBUNG SEMULA PERKHIDMATAN BAS AWAM DI KAMPUNG LENDU

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

LENDU 22 Mei – Perkhidmatan bas awam bagi laluan Kampung Lendu, Taman Lendu Bakti dan Rumah Awam Lendu, dilihat perlu disambung semula bagi memudahkan pelajar sekitarnya untuk ke sekolah.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya sudah membuat permohonan berhubung perkara itu kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR).

“Bas awam adalah satu keperluan buat pelajar sekolah tinggal di beberapa penempatan sekitar Kampung Lendu, kita tidak mahu ketiadaan kemudahan ini menyebabkan ada yang keciciran dalam pelajaran.

“Cadangan kepada APAD dan MKJR melibatkan laluan asal yang sudah dihentikan perkhidmatannya sebelum ini berikutan kurang permintaan,” katanya

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal bersama Pelajar Sekolah Menengah bersempena Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Masjid Tanah, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop.

Menurut Hameed, akibat ketiadaan pengangkutan awam ramai dalam kalangan pelajar menunggang motosikal ke sekolah meskipun tidak memiliki lesen yang sah.

“Perkara ini menyalahi undang-undang, tetapi mereka tidak ada pilihan lain untuk ke sekolah. Jadi kita harap perkhidmatan bas awam disambung semula, walaupun frekuensi rendah selepas waktu puncak, apa yang penting pelajar boleh pergi dan pulang dengan selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

470
Kongsi :
Previous post RUMAH BAHARU TUJUH BERANAK DIJANGKA SIAP TAHUN INI
Next post PBT PEMANGKIN KEMAJUAN KOMUNITI