Sorting by

×

‘PATUHI UNDANG-UNDANG, JAGA AKHLAK DI JALAN RAYA’

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

LENDU 23 Mei – Penunggang motosikal khusus dalam kalangan pelajar sekolah diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang, menunggang dengan beradab dan menjaga akhlak sepanjang berada di jalan raya.

Pesanan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, ketika menyantuni kira-kira 400 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin pada Program Advokasi Keselamatan Jalan Raya dan Pemeriksaan Motosikal, semalam.

Program berkenaan diadakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Lendu dan dijayakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

“Pesanan dan nasihat juga perlu bukan semata-mata hendak menghukum. Tetapi apabila kita dapati ramai pelajar menunggang motosikal tanpa lesen, tanpa cukai jalan dan tanpa insurans, itu sudah jadi satu isu besar.

“Kalau usia sudah 16 tahun, ambil lesen, sekurang-kurangnya lesen L dan belajar undang-undang jalan raya, bukan setakat lulus ujian, tetapi untuk tahu adab dan keselamatan di jalan raya,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah JPJ Negeri Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop.

Menurut Sulaiman, sikap sambil lewa terhadap pematuhan undang-undang boleh memberi kesan buruk bukan sahaja kepada diri sendiri, malah masyarakat dan imej negara.

“Kita di sekolah baca Rukun Negara setiap hari, tapi kalau undang-undang sendiri kita tidak patuhi, macam mana orang luar mahu hormat negara kita.

“Pelancong datang tengok kita langgar peraturan, mereka juga ikut sama. Itu yang kita tak mahu. Rukun Negara bukan sekadar hafalan, tetapi perlu diamalkan, termasuk nilai kesopanan dan kesusilaan,” katanya.

Jelas beliau, penting bagi pelajar menjaga akhlak bukan hanya di sekolah tetapi juga jalan raya kerana mereka adalah generasi bakal memimpin negara.

“Biar lambat, asalkan selamat, jaga keselamatan, jaga maruah. Ilmu tanpa akhlak tidak berguna, jadi kena seimbang,” katanya.

Program advokasi berkenaan turut memberi penerangan berkaitan aspek teknikal kenderaan serta peringatan mengenai tanggungjawab ibu bapa dalam memastikan anak-anak mematuhi syarat asas menunggang motosikal.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post IBU TUNGGAL TIDAK BERGAJI, SYUKUR KEPRIHATINAN MPAG
Next post DUA MAUT KERETA TERPEROSOK BAWAH LORI BUAT PUSINGAN U