
WRUR: HAMPIR 400 RUMAH DI DUN SUNGAI UDANG TERIMA ALAMAT KAMPUNG DIGITAL
SUNGAI UDANG 22 Mei – Hampir 400 kediaman dan bangunan awam di 10 kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, menerima alamat Kampung Digital, hari ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan berkata selain kediaman persendirian pelekat alamat Kampung Digital turut ditampal di balai raya dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
“Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di DUN Sungai Udang, kita ambil kesempatan menampal alamat Kampung Digital di 347 kediaman persendirian dan selebihnya adalah bangunan awam.
“Alhamdulillah pelaksanaan Kampung Digital, inisiatif diilhamkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berjalan lancar. Usaha ini juga antara komitmen kerajaan untuk memodenkan komuniti kampung seluruh Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas Sesi Edaran Pelekat Alamat Kampung Digital sempena Program WRUR sekitar DUN Sungai Udang, di sini.
Sesi edaran tersebut turut disertai Penyelaras DUN Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata mengikut perancangan sebanyak 220 kampung tradisional seluruh daerah Melaka Tengah akan menerima alamat Kampung Digital secara berfasa.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, sementara itu mengikut rekod secara keseluruhan terdapat 618 kampung tradisional seluruh Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.