Sorting by

×

WRUR: TVET2U BANTU PELAJAR ‘CELIK’ TVET

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

SUNGAI UDANG 22 Mei – Program TVET2U yang diadakan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang memberi peluang kepada kira-kira 300 pelajar sekolah menengah mengetahui dengan lebih jelas perspektif dan skop bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Pengenalan itu membolehkan pelajar menanam minat lebih awal, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk memilih bidang kemahiran mereka minati.

Bagi pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Ahmadi Sungai Udang, Said Muhammad Darwisy Rozi, berkata, perkongsian dan penyampaian yang diperoleh sepanjang program memberikan gambaran yang jelas bukan sahaja berkaitan elemen TVET tetapi juga peluang pekerjaan.

Katanya, meskipun berminat dengan TVET tetapi sebelum ini dia hanya mempunyai pengetahuan berkaitan bidang ini tidak begitu banyak atau menyeluruh.

“Program berkaitan TVET ini amat sesuai diadakan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah kerana ia dapat membantu pelajar dalam menentukan hala tuju selepas tamat persekolahan.

“Dengan pencerahan dan perkongsian yang disampaikan oleh penceramah banyak input serta maklumat baharu yang saya dapat sekaligus membuktikan TVET mempunyai banyak cabang.

“Seperti saya yang amat meminati bidang ‘scaffolding’, jadi segala persoalan berkaitan itu dapat ditanyakan secara terus kepada penceramah semasa Program TVET2U,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, program TVET2U telah disempurnakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, merangkap Penyelaras Japerun Sungai Udang Datuk Rais Yasin, di SMA JAIM Al-Ahmadi Sungai Udang, di sini, hari ini.

Bagi Muhammad Asyraf Khairul Anuar, yang juga pelajar tingkatan tiga SMA JAIM Al-Ahmadi Sungai Udang, berkata, pengisian slot sepanjang Program TVET2U memberi banyak input yang boleh membantu menarik minat pelajar ke arah bidang itu.

“Daripada perkongsian disampaikan oleh penceramah, banyak perkara yang sebelum ini saya dan rakan-rakan tidak tahu kini sudah jelas malah lebih banyak maklumat diperoleh.

“Malah turut diberitahu graduan TVET kini menjadi pilihan majikan kerana ia adalah satu bidang yang terdiri daripada aspek pendidikan, latihan dan pembangunan kemahiran,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 300 pelajar dari tiga buah sekolah iaitu SMA JAIM Al-Ahmadi Sungai Udang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Udang dan SMK Kem Terendak, mengikuti Program TVET2U.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

515
Kongsi :
Previous post WRUR: HAMPIR 400 RUMAH DI DUN SUNGAI UDANG TERIMA ALAMAT KAMPUNG DIGITAL
Next post WRUR: KAMPUNG DIGITAL MODENKAN KOMUNITI SUNGAI UDANG