
WRUR SUNGAI UDANG MEDAN PERKASA TVET
SUNGAI UDANG 23 Mei – Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) antara bidang yang diberi tumpuan dalam penganjuran program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang yang sedang berlangsung sehingga 30 Mei ini.
Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin, berkata, TVET kini bukan lagi sekadar bidang pilihan, sebaliknya ia telah berkembang menjadi platform utama dalam membentuk tenaga kerja kompetitif sekali gus membuka peluang pekerjaan tanpa sempadan.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan, pengenalan dan pendedahan tentang TVET perlu kerana masih ramai generasi muda tidak mempunyai pengetahuan luas berkaitan bidang ini.
“Saya sudah janji untuk WRUR DUN Sungai Udang ini kita akan memberi tumpuan kepada aspek pendidikan dan salah satunya adalah pendidikan TVET.
“Untuk itu pada WRUR DUN Sungai Udang ini dua program berkaitan bidang TVET diadakan iaitu Program TVET2U dan Program TVET X – Bengkel Crochet, yang bukan sahaja membabitkan pelajar sekolah tetapi juga lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program TVET2U yang disertai kira-kira 300 pelajar sekolah menengah di Sekolah Menengah Agama (SMA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Al-Ahmadi Sungai Udang, semalam.
Menurut Rais, TVET diberi fokus kerana bidang itu mampu menjadi penyelesaian kepada pelajar kurang cenderung kepada akademik tetapi memiliki kebolehan teknikal serta praktikal yang tinggi.
“Laluan TVET juga menyediakan peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran sepanjang hayat yang memberi ruang kepada individu untuk berkembang dalam pelbagai bidang termasuk peluang memulakan perniagaan sendiri.
“Justeru itu, saya amat berharap sokongan semua pihak untuk kita sama-sama menjayakan program yang kita adakan dengan kerjasama beberapa pihak seperti Kolej Antarabangsa Sains & Teknologi Melaka (MiCoST), Majlis TVET Negeri Melaka dan GiatMara,” katanya.
Terdahulu, pada majlis sama, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput turut mmberikan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada SMA JAIM Al-Ahmadi Sungai Udang, bagi membantu pihak sekolah membuka tabung awal untuk membeli dua unit kipas besar yang memerlukan kos keseluruhan berjumlah RM35,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.