Sorting by

×

MURAL SIMBOLIK KEAGUNGAN SEJARAH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

LENDU 23 Mei – Bukan sekadar untuk menyedapkan mata yang memandang atau menceriakan persekitaran, tetapi semua sekolah di negeri ini amat dialu-alukan untuk menghasilkan mural yang mencerminkan serta menggambarkan simbolik keagungan sejarah lampau Melaka.

Mural berpandukan kepada slogan keramat ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ itu juga dianggap sebagai medium untuk menarik minat murid dan pelajar sekolah bagi bersama-sama mendalami fakta sebenar sejarah Negeri Melaka yang dibengkokkan oleh penjajah.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi Pertandingan Mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ yang juga bersempena Progam Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu.

“Saya melihat ini adalah satu perkembangan yang amat baik dalam usaha kita untuk memurnikan sejarah yang sudah lama kehilangan fakta sebenar, kita betulkan semula menerusi lakaran-lakaran mural pada dinding bangunan sekolah di negeri ini.

“Lukisan atau mural ini juga dianggap sebagai satu bentuk warisan dalam kawasan sekolah. Setakat ini 40 buah sekolah rendah dan menengah daripada keseluruhan 318 sekolah seluruh Melaka sudah menyahut cabaran untuk menghasilkan mural ini.

“Pertandingan mural ini kita bahagikan kepada tiga iaitu peringkat DUN, daerah dan seterusnya peringkat negeri,” kata Ketua Menteri pada sidang media bersempena Pertandingan Mural ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ di Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba (SMKGB), di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Lendu merangkap Ketua Menteri Melaka ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Alor Gajah Malek Kasim dan Pengetua SMKGB, Sahreah Md Zin.

Sementara itu bagi mewujudkan persekitaran sekolah yang kondusif, Ketua Menteri turut mengumumkan pelaksanaan pertandingan sekolah tercantik, bersih dan selamat terbuka kepada semua sekolah di Negeri Melaka.

Menurut Ketua Menteri, pertandingan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri itu berkonsepkan 3K iaitu kebersihan, kesihatan, keceriaan dan keselamatan.

“Bagi kedua-dua petandingan ini kita sediakan hadiah yang menarik buat pemenang dan saya yakin murid serta pelajar di Melaka akan memperoleh faedah daripada inisiatif dilaksanakan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

790
Kongsi :
Previous post DUA MAUT KERETA TERPEROSOK BAWAH LORI BUAT PUSINGAN U
Next post UITM CAWANGAN MELAKA DILANTIK NAZIR KHAS DANA WAKAF PENDIDIKAN