
TEROKA BIDANG TVET DI WRUR DUN SUNGAI UDANG
SUNGAI UDANG 24 Mei – Aktiviti berasaskan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) merupakan antara tawaran dibuka pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.
Penyelaras DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata bidang TVET menawarkan banyak peluang pekerjaan serta perniagaan yang mampu memberikan nilai tambah daripada jumlah pendapatan amnya.
“Penganjuran program TVET kali ini iaitu Bengkel Crochet sememangnya unik kerana ia melibatkan seni dan kemahiran menghasilkan kain atau produk menggunakan benang dan satu batang jarum khas yang dipanggil jarum kait (crochet hook).
“Hasilnya, menerusi crochet ini, mereka yang sudah mahir dapat menghasilkan pelbagai produk cenderamata yang unik dan mampu beri impak kepada industri pelancongan Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program TVET X Bengkel Crochet di Dewan Japerun Sungai Udang, semalam.
Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Tangga Batu, Mohd Yusof Tawang.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat TVET Negeri Melaka, Perbadanan Melaka (MCORP) serta Kolej Komuniti Tangga Batu kerana sudi menganjurkan aktiviti tersebut pada edisi WRUR DUN Sungai Udang.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada pihak MCORP dan Kolej Komuniti Tangga Batu kerana berjaya menganjurkan program berasaskan TVET ini. Buat para peserta, jika tiada aral melintang, selepas ini program sebegini akan dilaksanakan tetapi dalam skala yang besar.
“Justeru, saya berharap komuniti setempat dapat menikmati segala peluang dan ruang yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Melaka menerusi WRUR,” katanya.
Sementara itu, penganjuran bengkel tersebut menyaksikan penglibatan seramai 35 peserta, terdiri daripada masyarakat umum dan empat tenaga pengajar Kolej Komuniti Tangga Batu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.