
JIMAT 30 PERATUS DI JUALAN KHAS SEMARAK AIDILADHA FAMA
JASIN 4 Jun – Orang ramai berpeluang menikmati penjimatan sehingga 30 peratus menerusi Program Jualan Khas Semarak Aidiladha 1446H Peringkat Negeri Melaka @ Pasar Tani Jasin yang berlangsung hari ini.
Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya menjangkakan nilai jualan mencecah RM50,000 hasil sambutan menggalakkan daripada pengunjung yang hadir.
“Program ini menawarkan pelbagai barang keperluan dengan harga istimewa. Daging segar misalnya, dijual pada harga RM25 sekilogram berbanding harga pasaran RM38, manakala tulang lembu hanya RM20 sekilogram iaitu penjimatan sebanyak RM18.
“Ayam segar turut dijual pada harga RM12 seekor, iaitu RM5 lebih murah daripada harga pasaran, melibatkan sebanyak 200 ekor ayam.
“Manakala, telur ayam gred C pula dijual pada harga RM7 sepapan berbanding harga biasa RM10, dengan sebanyak 100 papan ditawarkan kepada pengguna yang hadir hari ini,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata FAMA turut menyediakan Set Kombo MADANI dan Kombo Agromas masing-masing pada harga RM10, dengan penjimatan sehingga RM5 bagi setiap set.
“Bagi pengguna yang mencari keperluan asas, beras putih tempatan 10 kilogram juga dijual pada harga RM26 sekampit, dengan 200 kampit disediakan untuk jualan ini sahaja,” katanya.
Nor Azhar berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada inisiatif terdahulu yang dijalankan di Pasar Tani Merlimau dan terbukti memberi impak besar kepada pengguna.
“Dengan adanya program jualan langsung sebegini, pengguna dapat memperoleh bahan mentah segar pada harga yang jauh lebih rendah, khususnya menjelang musim perayaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.