
ECO-CRUISE SUNGAI LINGGI BAKAL DILANCAR PADA SEPTEMBER
KUALA LINGGI 4 Jun – Satu lagi produk pelancongan baharu yang dinamakan Eco-Cruise Sungai Linggi akan diperkenalkan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) tidak lama lagi.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, tarikan terbaharu berkonsepkan pelayaran menelusuri Sungai Linggi yang tersimpan pelbagai khazanah flora dan fauna itu dijangka akan dilancarkan pada 1 September depan.
Menurut beliau, dalam tempoh percubaan selama dua bulan sebelum dilancarkan, pelbagai promosi tentang keunikan produk baharu itu akan dilakukan bagi menarik lebih ramai pengunjung serta pelancong dalam dan luar negara.
“Satu lagi produk pelancongan baharu kita akan lancarkan pada 1 September ini di Sungai Linggi, dikenali sebagai Eco-Cruise Sungai Linggi yang akan menjadi sebuah lagi daya tarikan pelancong.
“Menerusi pelayaran ini pengunjung dan pelancong akan dapat menikmati keindahan Sungai Linggi sambil melihat flora dan fauna sepanjang menelusuri sungai dalam suasana berbeza dan lain daripada yang lain.
“Malah pengunjung dan pelancong juga dapat menikmati hidangan tradisional yang disediakan sewaktu persinggahan di Kafe Terapung Sungai Linggi @Taman Lokan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan kerja ke Sungai Linggi, di sini, hari ini.

Lawatan itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; barisan Exco Kerajaan Negeri; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, meskipun membawa konsep yang sama seperti Eco-Cruise Paya Lebar, namun pelayaran Eco-Cruise Sungai Linggi membawa kelainan apabila menawarkan perkhidmatan yang lebih menarik.
Malah, ujar beliau, pelayaran di Eco-Cruise Sungai Linggi juga boleh beroperasi bila-bila masa tanpa dipengaruhi faktor pasang surut air laut.
“Penjadualan perjalanan termasuk dengan harga pelayaran kini sedang disusun atur oleh PPSPM bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada pengunjung,” katanya.
Justeru itu, Ab Rauf berkata, orang ramai yang ingin merasai pengalaman suasana pelancongan berbeza dipelawa untuk menikmati produk baharu itu dan maklumat lanjut akan diumumkan PPSPM dari semasa ke semasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.