Sorting by

×

TERNAKAN KUPANG REDAKAN ‘GELORA’ PAK SIDEK

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERKAM 19 Jun – Inisiatif ternakan kupang dilaksanakan Kerajaan Negeri menjadi ‘penyelamat’ kepada nelayan daripada terputus punca pencarian akibat tidak dapat keluar ke laut susulan kekerapan ketidaktentuan cuaca.

Kekerapan hujan sejak kebelakangan ini juga memberi kesan terhadap pendapatan harian nelayan, terutamanya mereka tertumpu sekitar pesisir pantai.

Berikutan itu nelayan juga pengusaha ternakan kupang Sidek Utourin, 56, dari Kampung Pulai, Serkam, berharap Kerajaan Negeri dapat memperluaskan lagi inisiatif berkenaan agar rakannya yang lain dapat bersama-sama menikmati faedah hasil daripada program dilaksanakan.

Dia yang lebih mesra disapa Pak Sidek oleh penduduk kampung berkata, hasil jualan ternakan kupang amat membantunya terutama ketika musim laut bergelora seperti sekarang.

“Pada saya ternakan kupang berpotensi besar untuk diteroka oleh nelayan, pembinaan struktur seperti ‘panggal kupang’ atau rumah kupang antara salah satu penyelesaian jangka panjang mungkin sesuai untuk dilaksanakan.

“Kita boleh buat rumah kupang atas laut, orang boleh singgah memancing, walaupun musim laut bergelora, tetap ada aktiviti dan nelayan boleh jana pendapatan.

“Boleh sediakan perkhidmatan kepada pemancing, bayaran diterima boleh tampung perbelanjaan keluarga nelayan jika tidak dapat turun ke laut,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jeti Nelayan Pantai Siring, di sini, semalam.

Sementara itu rakannya Jumari Ahmad, 57, dari Kampung Bukit Tembakau, kini serius untuk aktif dalam penternakan kupang dan bercadang membina kelong sebagai sumber pendapatan alternatif.

Jumari yang baharu lapan tahun bergelar nelayan sepenuh masa berkata, dia memilih untuk mengusahakan inisiatif lain, agar tidak terlalu bergantung kepada hasil laut sebagai punca pendapatan utama.

“Pada musim sekarang jualan menurun, dibandingkan dengan dulu hampir 50 peratus pendapatan terjejas, cuaca dan keadaan fizikal laut menyukarkan pergerakan bot serta operasi nelayan.

“Jadi inisiatif ternakan kupang ini antara alternatif punca pendapatan yang perlu diperluaskan lagi kepada nelayan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post TERPAKSA BERSARA AWAL, JAGUH BINA BADAN BERSYUKUR DIBANTU YAKEB
Next post KONDA KONDI KE PERSADA DUNIA