Sorting by

×

UJIAN BAPA TUNGGAL BESARKAN ANAK HIDAP KANSER HATI

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BEMBAN 6 Julai – Membesarkan sembilan anak sendirian tanpa kehadiran isteri bukanlah satu tugas yang mudah ditambah dua anaknya diuji dengan masalah kesihatan kronik.

Namun bagi Muhammad Zamani Balakrishnan, 52, selepas kehilangan isterinya lebih setahun lalu, dia menggalas sepenuh tanggungjawab itu dan tidak pernah berputus asa mencari nafkah untuk keluarga dan mengurus anak bongsu lelakinya berusia dua tahun yang menghidap kanser hati.

Katanya, penyakit anaknya itu mula dikesan selepas lima bulan isterinya pergi iaitu pada September 2024 apabila perut anaknya itu mula membuncit.

“Ketika itu keadaan anak sihat dan aktif sahaja, malah makan juga seperti biasa tetapi melihat perutnya saya berasa bimbang, ada yang tidak kena.

“Jadi saya bawa anak jalani pemeriksaan, pada awalnya ingatkan hanya ketumbuhan biasa sahaja tetapi selepas pembedahan doktor maklum terdapat sel kanser pada hati. Alhamdulillah kini dia sudah selesai menjalani dua sesi kemoterapi dan keadaanya aktif.

“Enam bulan sekali anak masih perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur bagi membolehkan doktor memantau keadaan hatinya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Maju, Jasin, baru-baru ini.

Pemotong ayam itu disantuni menerusi Ziarah Kasih Asnaf Mualaf sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Menurut Muhammad Zamani, mengakui dengan bergantung kepada gaji harian iaitu sekitar RM30, amat perit baginya untuk menampung perbelanjaan bulanan keluarganya yang besar.

“Enam anak sedang belajar termasuk seorang di institusi pengajian tinggi (IPT). Saya bertuah kerana dalam kesibukan keluar bekerja, anak perempuan nombor dua berusia 19 tahun ada di rumah membantu menguruskan adik-adiknya.

“Syukur, ujian saya semakin ringan apabila Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menerusi Balai Islam tampil membantu dengan menghulurkan bantuan makanan, bantuan sakit kronik untuk dua anak dan bantuan anak sekolah,” katanya.

Jelasnya, dia amat berterima kepada semua pihak yang sentiasa bertanya khabar dan mengambil berat keadaan keluarganya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

440
Kongsi :
Previous post AZIZAH IKON WANITA BEMBAN 2025
Next post WRUR DUN BEMBAN DAPAT PUJIAN PENDUDUK, LEBIH MUDAH BUAT ADUAN