Sorting by

×

SANGGAR BATIN SEMBILAN UNGGULI ZAPIN RENTAK BERTANDAK ANTARABANGSA 2025

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 5 Julai – Kesungguhan Kumpulan Sanggar Batin Sembilan dari Bengkalis, Indonesia, datang ke negeri ini bagi bersama-sama memeriahkan pentas Pertandingan Zapin sempena Rentak Bertandak Antrabangsa Melaka 2025 berbaloi apabila mereka diumumkan sebagai johan.

Malah kumpulan bimbingan Musrial Mustafa itu membuktikan kehabatan mereka apabila turut merangkul anugerah bagi vokal terbaik dan gubahan muzik terbaik pada pertandingan sama.

Menurut Musrial, saingan agak sengit kerana setiap pasukan mempunyai seni tarian dan lenggok tersendiri berikutan itu diumumkan sebagai johan sudah pasti sesuatu yang amat membanggakan mereka semua.

Katanya, tarian yang dipersembahkan itu menceritakan tentang masyarakat sebuah desa di Bengkalis yang amat mencintai dan meminati seni tarian Zapin.

“Sudah pasti apabila diumumkan sebagai juara kami amat gembira ditambah pula turut memenangi dua anugerah lain. Kemenangan ini tidak dijangka memandangkan ini penyertaan pertama.

“Kami berharap pada masa akan datang pertandingan seni seperti ini akan diteruskan. Tahun lalu kami ada atang ke Melaka tetapi sekadar membuat persembahan sahaja.

“Usaha Kerajaan Negeri ini amat bagus dalam membangkitkan semula seni budaya, sekali gus merapatkan hubungan dua negara,” katanya.

Musrial, ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Zapin sempena Rentak Bertandak Antrabangsa Melaka 2025 dan Sambutan Pra-Pelancaran Hari Pelancongan Sedunia 2025 disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman bersama Timbalannya Datuk Zaidi Attan.

Sementara itu, wakil kumpulan Lanteran Seni Remaja, Selangor yang menjuarai kategori sekolah menengah, Ahmad Adrin Naufal Ahmad Fuaad, 16, berkata, kemenangan diperoleh itu hasil kesungguhan dan komitmen yang tinggi diberikan semua termasuk koreografer mereka Syazwan Razali.

“Untuk pertandingan ini kami membawa tugasan atau mempersembahkan Zapin Sebuyam atau sepak bulu ayam, mungkin tuah sebuyam ini dapat mencuri perhatian juri.

“Sasaran kami hanya untuk lolos ke peringkat akhir dan berada dikedudukan terbaik sahaja tetapi Alhamdulillah, rezeki apabila diumumkan sebagai pemenang tempat pertama,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

444
Kongsi :
Previous post WRUR DUN BEMBAN DAPAT PUJIAN PENDUDUK, LEBIH MUDAH BUAT ADUAN
Next post 183 ANAK YATIM DIRAI SEMPENA 10 MUHARAM