Sorting by

×

BANTU RAKYAT LEBIH UTAMA – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH, 6 Julai – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menegaskan bahawa agenda membantu rakyat mesti menjadi keutamaan sepanjang masa, bukan hanya menjelang pilihan raya.

Beliau berkata, Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang digerakkan sejak awal tahun ini, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk turun padang, menyantuni rakyat dan menyelesaikan masalah hingga ke akar umbi.

“Tidak perlu tunggu pilihan raya baru mahu tunjuk kita prihatin kepada rakyat. Sekaranglah masanya untuk prihatin, kerana rakyat telah beri amanah dan kepercayaan kepada kita,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian ketika berucap dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah Kali Ke-22 Tahun 2025 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Ketua Penerangan UMNO Bahagian, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Bendahari UMNO Bahagian, Datuk Rosli Abdullah serta pemimpin sayap UMNO bahagian berkenaan.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian lain termasuk Datuk Rais Yasin (Tangga Batu), Datuk Fairul Nizam Roslan (Alor Gajah) dan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (Hang Tuah Jaya) serta wakil parti komponen Barisan Nasional.

Menurut beliau, semua Ahli Majlis Exco dan Timbalan Exco telah diarah ‘berkampung’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditetapkan selama dua minggu bagi mendengar keluhan rakyat secara langsung.

“Saya melakarkan Program WRUR ini bukan hanya untuk menyelesaikan aduan, tetapi juga untuk mendidik budaya kepimpinan yang dekat dengan rakyat dan membentuk pemimpin pelapis,” katanya.

Antara DUN yang telah dilaksanakan WRUR setakat ini ialah Kuala Linggi, Pengkalan Batu, Sungai Udang, Lendu dan Bemban, seterusnya, WRUR edisi keenam dijadualkan berlangsung di DUN Duyong bermula 12 hingga 26 Julai ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2083
Kongsi :
Previous post POLIS TAHAN TIGA LELAKI JUAL MC PALSU DI SUNGAI PETANI
Next post WARGA EMAS MENINGGAL DUNIA SELEPAS AKTIVITI MENYELAM DI PULAU TIOMAN