
PELANCONG SETUJU MELAKA LOKASI IDEAL WAKILI MALAYSIA PADA WTD 2025
BANDA HILIR 6 Julai – Kehebatan Melaka di mata pelancong tidak mampu disangkal lagi dengan pemilihannya selaku tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Persidangan Pelancongan Sedunia 2025 (WTC 2025) 27 hingga 29 September ini.
Rata-rata pelancong yang ditemui Melaka Hari Ini menyifatkan kepelbagaian tarikan pelancongan dan ketinggian nilai sejarah di negeri ini menjadikan ia lokasi ideal bagi sambutan bertaraf dunia itu.

Pelancong dari Jerman, Max Mueller, 21, mengagumi keindahan bangunan warisan di Melaka yang ikonik bahkan dilihat sebagai syurga bagi aktiviti penggambaran.
Tambah Mueller, dia dan rakan wanita, Sabrina Won, 24 yang datang ke Melaka bagi melakukan penggambaran bersetuju diversiti dimiliki Melaka sememangnya menarik untuk diteroka pelancong dari serata dunia.
“Melaka adalah lokasi pilihan saya kalau datang ke Malaysia kerana di sini ada pelbagai tarikan pelancongan seperti Melaka River Cruise dan bermacam-macam budaya seperti Baba Nyonya.
“Suasana malam di sini tidak seperti kebanyakan tempat yang saya sudah pergi melancong sebelum ini. Malam di sini lebih meriah dan menarik,” katanya.
Dia ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Pra-Peluncuran Hari Pelancongan Sedunia (WTD) yang disempurnakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di perkarangan Bangunan Stadthuys, semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; barisan kepimpinan Kerajaan Negeri; duta dan pesuruhjaya tinggi ke Malaysia serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu, pelancong dari Belanda, Jonas Willoqué, 30 memuji kehebatan Melaka dari segi binaan muziumnya yang terjaga rapi dan bahan-bahan sejarah dipamerkan dilihat menarik dan berinformatif.
Jelasnya, selain bahan sejarah, dia juga teruja dengan variasi makanan dan keramahan penduduk di Melaka yang menyambut pelancong dengan baik apabila tiba di sini beberapa hari lalu.
“Saya akan cadangkan ramai orang untuk datang ke sini kerana ini adalah contoh sebuah negara warisan dan diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
“Jadi kalau Melaka jadi tuan rumah WTD, bermakna ia pilihan yang bijak,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.