Sorting by

×

MELAKA SASAR CAPAIAN 100 PERATUS LIPUTAN 4G DAN 5G MENJELANG 2027

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR 17 Julai – Kerajaan Negeri menyasarkan 100 peratus liputan rangkaian 4G dan 5G di semua kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang tahun 2027, selaras dengan agenda transformasi digital.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, meskipun Melaka kini berada pada kedudukan keenam peringkat nasional bagi liputan CoPA 4G, Kerajaan Negeri optimis untuk melonjak ke tahap tertinggi dengan sokongan berterusan pelbagai pihak.

“Setakat ini, Melaka telah mencatat liputan CoPA 4G sebanyak 99 peratus dan CoPA 5G sebanyak 89 peratus.

“Purata kelajuan jalur lebar mudah alih di negeri ini pula mencecah 121 Mbps, melepasi sasaran nasional 100 Mbps,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Sinergi Telekomunikasi Negeri Melaka Tahun 2025 yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Hadir sama, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH), Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Menurut Ab Rauf, Melaka turut berjaya membangunkan rangkaian gentian optik sepanjang 200 kilometer, yang memberi manfaat kepada lebih 80 kawasan di seluruh negeri ini.

“Pencapaian ini penting dalam memperkukuh infrastruktur digital dan kesiapsiagaan negeri ke arah bandar pintar,” katanya.

Terdahulu, majlis tersebut turut meraikan ulang tahun ke-22 penubuhan MICTH yang menjadi entiti milik penuh Kerajaan Negeri dan tulang belakang utama dalam pembangunan telekomunikasi serta teknologi digital di Melaka sejak lebih dua dekad lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

541
Kongsi :
Previous post APLIKASI SMART AI TOURISM MELAKA DILANCAR SEPTEMBER INI
Next post MICTH CATAT PRESTASI LUAR BIASA, LONJAKAN UNTUNG 245 PERATUS