Sorting by

×

MICTH CATAT PRESTASI LUAR BIASA, LONJAKAN UNTUNG 245 PERATUS

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KUALA LUMPUR 17 Julai – Melaka ICT Holdings Sdn Bhd (MICTH) mencatat pencapaian luar biasa apabila merekodkan peningkatan keuntungan sebanyak 245 peratus dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian tersebut membuktikan keupayaan MICTH sebagai peneraju transformasi digital negeri yang kompetitif di peringkat global.

“Ini merupakan satu rekod luar biasa kepada MICTH. Lebih membanggakan, MICTH turut menerima pengiktirafan antarabangsa melalui Asia’s Most Promising SME Award 2024, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan mereka sebagai entiti yang berdaya saing di pentas dunia.

“Kejayaan ini menjadi suntikan inspirasi kepada semua dan membuktikan bahawa anak syarikat milik Kerajaan Negeri juga mampu mencipta kecemerlangan bertaraf antarabangsa,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Apresiasi dan Sinergi Telekomunikasi Negeri Melaka Tahun 2025 di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan, barisan Exco, Timbalan Exco serta kenamaan lain.

Turut hadir, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Abdul Karim Fakir Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MICTH Dr. Nazdiana Ab Wahab.

Terdahulu, majlis tersebut turut menyaksikan tiga momen penting dalam usaha memperkukuh infrastruktur digital negeri.

“Momen pertama apabila menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara MICTH dan Rohas Euco Industries Berhad, seterusnya, penyerahan surat tunjuk minat antara MITCH dan Maxis Broadband Sdn Bhd.

“Ketiga pula adalah pertukaran MoU antara MICTH dan U Mobile Sdn Bhd untuk mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G di Melaka.

“Kesemua inisiatif ini dijangka akan melonjakkan lagi keupayaan teknologi negeri dan mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi digital berimpak tinggi, selaras dengan sasaran liputan 100 peratus 4G dan 5G menjelang 2027,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

910
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR CAPAIAN 100 PERATUS LIPUTAN 4G DAN 5G MENJELANG 2027
Next post KARNIVAL HAVOC STEM PLATFORM KENAL PASTI POTENSI MURID ISTIMEWA