Sorting by

×

YB RAIS DENGAR DENYUT NADI PENIAGA PASAR MALAM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 12 Februari – Program Walkabout tiga pasar malam utama dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput menjadi antara pengisian utama Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung dari 8 hingga 15 Februari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, tiga pasar malam itu membabitkan Pasar Malam Taman Bertam Jaya; Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya.

Katanya, program jelajah pasar malam tersebut bertujuan untuk menyantuni peniaga-peniaga kecil yang mencari rezeki dalam DUN tersebut dengan mendengar denyut nadi mereka dan seterusnya membantu sekali gus merancakkan ekonomi tempatan.

“Pasar Malam Taman Bertam Jaya merupakan lokasi pertama jelajah pasar malam, sebelum diteruskan ke pasar malam Taman Rambai Utama dan Taman Rambai Jaya.

“Kita telah kenal pasti bahawa pasar malam di Taman Bertam Jaya merupakan yang paling lama bertapak iaitu hampir 30 tahun, manakala pasar malam di Taman Rambai Jaya merupakan yang terpanjang dalam DUN Paya Rumput,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas mengadakan Walkabout ke Pasar Malam Taman Bertam Jaya, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Muhammad Firdaus Shariff dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Cheng Perdana Norhashim Yusof serta kenamaan lain.

Pada sesi walkabout tersebut, MBMB turut mengedarkan apron kepada 150 peniaga bertujuan untuk meningkatkan imej dan kebersihan ketika meniaga.

Mengulas lanjut, Rais berkata, rata-rata peniaga menyambut baik penganjuran jelajah pasar malam sempena Karnival Demi Paya Rumput kerana ia secara tidak langsung membantu suara mereka didengari dan seterusnya lebih bersemangat untuk meneruskan aktiviti mencari rezeki.

“Objektif kita dalam mengadakan jelajah ini selain menyantuni peniaga kita juga mahu mendekati peniaga serta mendapatkan maklum balas berkaitan kemudahan dan kebajikan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post DIJEMPUT KE TANAH SUCI SELEPAS TIGA BULAN PELUK ISLAM
Next post MPHTJ ‘NYALAKAN’ SEMANGAT TAHUN BAHARU CINA