Sorting by

×

MELAKA BINA MENARA TELEKOMUNIKASI BAHARU DI 24 LOKASI LIPUTAN LEMAH

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SERI NEGERI 29 April – Sebanyak 24 kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokasi liputan lemah internet akan dibina menara telekomunikasi baharu menerusi peruntukan Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, lokasi itu dikesan hasil daripada pemantauan dan audit yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

Jelas beliau, projek itu telah bermula dan dijangka siap secara berperingkat sebelum suku kedua tahun 2027.

“Setakat ini, sebanyak 11 menara telekomunikasi telah siap beroperasi iaitu di Kampung Batu Gajah; Kampung Chenderah; Kampung Air Repat; Kampung Pondok Batang; Kampung Baru Tanah Pinggir Meriang; Kampung Seri Kesang; Kampung Tersusun Datuk Mohd Hidhir; Taman Panglima Pak; Taman Bemban Heights; Asahan dan Kampung Permatang Tulang.

“Manakala baki 13 lagi sedang dalam pelaksanaan iaitu membabitkan Taman Jus Perdana; Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM); Kampus UiTM Alor Gajah; Kampung Paya Lebar / Eco Cruise Sg Linggi; Kampung Kuala Linggi dan Kampung Beringin / Parit Melana.

“Selain itu, pembinaan menara telekomunikasi juga dilaksanakan di Jalan Lesung Batu; Kolej Profesional MARA Ayer Molek; Hutan Botanikal (Pintu Masuk); Hospital Jasin; Pulau Besar Melaka; Ambassador Village; Taman Belia Antarabangsa (Melaka Wonderland),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim (BN-Pantai Kundor) mengenai perancangan Kerajaan Negeri menambah baik talian internet seluruh Negeri Melaka pada Persidangan Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, setakat ini, sebanyak 390 menara telekomunikasi telah siap dibina di seluruh Negeri Melaka setakat April 2026.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

547
Kongsi :
Previous post LIPUTAN 4G SUNGAI RAMBAI CAPAI 100 PERATUS
Next post KUTIPAN MASJID TIDAK TETAP, BERGANTUNG DERMA DAN TABUNG JUMAAT