
MPAG TERIMA ANUGERAH PERDANA KESELAMATAN PERLINDUNGAN 2025
ALOR GAJAH 9 Jun – Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sekali lagi melakar kejayaan membanggakan apabila menerima Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan 2025 serta Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan 2025.
Pengiktirafan itu diterima pada Majlis Anugerah Khas Keselamatan Perlindungan Tahun 2025 yang diadakan di Putrajaya.
Yang Dipertua MPAG, Datuk TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen berterusan MPAG dalam memastikan aspek keselamatan perlindungan sentiasa diberi perhatian dan dilaksanakan mengikut piawaian terbaik.
“Anugerah ini merupakan satu penghormatan besar kepada MPAG dan menjadi pengiktirafan terhadap usaha berterusan seluruh warga kerja dalam memperkukuh budaya keselamatan perlindungan di organisasi ini.
“Daripada 118 agensi yang dinilai di seluruh negara, hanya 50 agensi menerima Anugerah Khas Cemerlang dan MPAG amat berbangga kerana turut tersenarai dalam kelompok enam agensi terbaik yang menerima Anugerah Perdana Keselamatan Perlindungan 2025,” katanya.
Terdahulu, majlis anugerah itu turut dihadiri Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Setiausaha MPAG Radzyma Mahat serta ketua-ketua jabatan.
Menurut TPr. Saifuddin, kejayaan tersebut adalah hasil usaha kolektif, komitmen dan kerjasama semua warga kerja MPAG dalam memastikan pengurusan keselamatan perlindungan berada pada tahap terbaik.
“Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi untuk terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang kepada masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


