Sorting by

×

PENERBANGAN PEKANBARU-MELAKA RANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN KESIHATAN 

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Pembukaan semula laluan udara antara Pekanbaru-Melaka dimanfaatkan oleh Melaka untuk memperkukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan kesihatan pilihan utama rantau ini.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penerbangan pertama Wings Air akan bermula esok yang pastinya memudahkan lagi kunjungan pelawat khusus dari Indonesia.

Abdul Razak berkata, penerbangan terus ke Melaka itu akan membawa penumpang bukan sahaja dari Pekanbaru sebaliknya turut melibatkan mereka dari Jakarta, Batam, Medan dan Surabaya.

“Perkembangan ini sudah pasti akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan Melaka, penerbangan bukan sahaja membawa pesakit mahu mendapatkan rawatan di negeri ini tetapi juga ahli keluarga keluarga yang menemani mereka.

“Sehubungan itu Tourism Melaka bekerjasama erat dengan beberapa pusat perubatan swasta beroperasi di negeri ini agar perkhidmatan diberikan sentiasa terbaik.

“Kerjasama disusun melibatkan pelbagai inisiatif promosi seperti penyertaan dalam misi jualan dan promosi pelancongan di Indonesia, pengiklanan digital, promosi melalui media sosial rasmi Tourism Melaka serta sesi padanan perniagaan bersama ejen pelancongan,” katanya menerusi kenyataan media pada Selasa.

Menurut Abdul Razak lagi, promosi juga akan dilakukan dengan kerjasama pejabat Tourism Malaysia di Jakarta dan Medan serta ejen pelancongan Indonesia.

“Melalui kerjasama strategik ini juga Tourism Melaka dan hospital terlibat bukan sahaja berusaha meningkatkan jumlah pesakit antarabangsa yang datang mendapatkan rawatan, malah menyokong pertumbuhan trafik penumpang bagi penerbangan Wings Air menerusi laluan Pekanbaru-Melaka.

“Peningkatan jumlah pelawat dari Indonesia bukan sahaja membantu memastikan kelestarian laluan penerbangan ini tetapi mewujudkan situasi menang-menang kepada semua pihak, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sektor pelancongan kesihatan serta ekonomi Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post MPAG TERIMA ANUGERAH PERDANA KESELAMATAN PERLINDUNGAN 2025