
INDONESIA JADI TUMPUAN PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA
KESIDANG 10 Jun – Pelancongan kesihatan kekal sebagai segmen berpotensi tinggi dalam industri pelancongan Melaka, dengan pasaran Indonesia terus menjadi penyumbang utama kepada sektor berkenaan.
Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka Nasrul Ahmad berkata, justeru pembukaan semula laluan penerbangan Pekanbaru-Melaka oleh Wings Air dijangka menarik lebih ramai warga Indonesia mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan di negeri ini.
Menurutnya, kemudahan akses penerbangan itu akan memperkukuh lagi kedudukan Melaka sebagai antara destinasi pilihan utama pelancongan kesihatan di rantau ini.
Katanya, ketika ini Melaka mempunyai empat hospital swasta yang aktif menawarkan pelbagai pakej dan perkhidmatan kesihatan kepada pesakit antarabangsa, khususnya dari Indonesia.
“Warga Indonesia sememangnya antara yang ramai mendapatkan rawatan di Melaka. Dengan adanya laluan penerbangan ini, ia akan memudahkan lagi pergerakan mereka untuk mendapatkan rawatan di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Penerbangan Wings Air Pekanbaru ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam, di sini, hari ini.
Hadir sama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan; Pemerintah Kota Pekanbaru Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Akmal Khairi S.Th.I.MH serta wakil agensi dan jabatan Kerajaan Negeri.
Nasrul berkata, usaha mempromosi pelancongan kesihatan di Indonesia telah dilaksanakan secara berterusan termasuk melalui penyertaan dalam pameran pelancongan serta kerjasama strategik bersama hospital-hospital swasta di Melaka.
“Promosi tersebut turut diperluaskan di beberapa lokasi utama di Indonesia bagi menarik lebih ramai pesakit antarabangsa memilih Melaka sebagai destinasi rawatan.
“Setiap tahun hospital swasta di Melaka turut mengambil bahagian dalam pameran pelancongan di Indonesia untuk memperkenalkan perkhidmatan mereka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

