Sorting by

×

KPDN MELAKA TUMPASKAN ‘PORT’ SIMPAN, JUAL DIESEL HARAM

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

PAYA RUMPUT 11 Jun – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis haram di Taman IKS Paya Rumput menerusi Op Tiris 4.0 Bersepadu, malam tadi.

Dalam operasi yang dijalankan kira-kira jam 9 malam itu, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN Melaka hasil risikan dan pemantauan telah membuat serbuan di sebuah premis tanpa nama yang dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan dan penjualan minyak diesel secara haram.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, hasil pemeriksaan di premis berkenaan membawa kepada penemuan kira-kira 6,000 liter minyak disyaki diesel bersama pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan bahan api tersebut.

Menurutnya, antara barangan yang disita termasuk sebuah lori, sebuah tangki tambahan berkapasiti 3,000 liter, dua unit skid tank, dua keping kad minyak, beberapa unit pam minyak, flow meter serta wang tunai berjumlah RM6,450.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak diesel dan peralatan yang digunakan dalam kegiatan ini dianggarkan berjumlah RM106,345.

“Dua suspek lelaki iaitu warga tempatan berusia lingkungan 40-an dan warga Bangladesh berusia awal 40-an yang berada di premis berkenaan dan dipercayai sedang menyeleweng diesel turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Mohd Hazimin berkata, kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melanggar Subperaturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjalankan urus niaga borong, runcit atau mengilang barang berjadual tanpa lesen yang sah daripada Pengarah Pengawal Bekalan.

“KPDN Melaka memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar tidak sesekali cuba memanipulasi, menyeleweng, atau berurusan dengan barang kawalan tanpa permit dan lesen yang sah,” katanya.

Tambah beliau, Op Tiris 4.0 Bersepadu akan terus diperkasakan bagi memastikan ketirisan subsidi dapat dikekang sekali gus melindungi kepentingan rakyat dan ekonomi negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

770
Kongsi :
Previous post JAMU MATA, JAMU SELERA DI KEDAI ROTI CANAI MEZAN
Next post HARI KESIHATAN DUN KESIDANG MERIAH