Sorting by

×

WRUR KESIDANG: MPHTJ BAIK PULIH RUMAH PESAKIT DIALISIS

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KESIDANG 11 Jun – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) komited meneruskan hasratnya membantu golongan memerlukan menerusi pelaksanaan program kerja-kerja pembersihan dan membaik pulih kediaman.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, usaha itu diteruskan lagi pada Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang sebagai sebahagian usaha membantu golongan B40 dan masyarakat yang memerlukan dalam kawasan pentadbiran MPHTJ.

“Pada program kali ini, lebih 20 kakitangan MPHTJ, Ketua Jabatan dan penduduk bekerjasama menyantuni keluarga kurang berkemampuan, seorang daripada mereka adalah pesakit dialisis. Keluarga ini memerlukan bantuan bagi melakukan kerja-kerja mengubahsuai kediaman melibatkan bilik air untuk memudahkan pergerakan pesakit di rumahnya.

“Sukarelawan bergotong-royong membersihkan kediaman ini dan melakukan kerja-kerja pembaikan kerosakan kecil agar suasana dalam rumah lebih selesa serta selamat untuk didiami.

“MPHTJ menyalurkan bantuan bernilai hampir RM5,000 merangkumi barangan keperluan, peralatan rumah dan sumbangan tunai,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Pembersihan dan Pembaikan Kecil Rumah sempena WRUR DUN Kesidang di Taman Melaka Baru, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin, Setiausaha MPHTJ, Mohd Faizal Mohd Zin serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Zulkiflee berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan sekali gus memperkukuhkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam masyarakat.

“Sebelum ini, satu program seumpamanya turut dilaksanakan di Malim Jaya yang melibatkan kerja-kerja pembersihan dan pembaikan rumah sebagai sebahagian daripada agenda kebajikan dalam program WRUR DUN Kesidang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1008
Kongsi :
Previous post HARI KESIHATAN DUN KESIDANG MERIAH