Sorting by

×

UMNO MELAKA BUKA PINTU KERJASAMA KEPADA SEMUA PIHAK

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

LENDU 12 Jun – UMNO Melaka bersedia membuka ruang kerjasama kepada mana-mana pihak yang mampu menyumbang kepada kekuatan parti serta memperkukuh perpaduan masyarakat.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, UMNO Melaka turut mengalu-alukan bekas ahli yang pernah meninggalkan parti itu untuk kembali bersama-sama membina masa depan yang lebih gemilang.

“Keterbukaan itu tidak akan menjejaskan kestabilan politik serta hubungan kerjasama yang sedia terjalin di negeri ini. Maksudnya kita mengalu-alukan mereka yang telah tidak bersama dengan UMNO untuk kembali semula dan membina masa depan sebagai satu jambatan masa depan yang lebih gemilang.

“Namun ianya tidak akan menjejaskan formasi yang telah berlaku sekarang dalam Negeri Melaka. Maksudnya apa yang dibuat oleh UMNO Melaka nanti tidak ada satu kesan yang menunjukkan perasangka yang mendalam terhadap mana-mana parti atau kaum seolah-olah UMNO ini melakukan sebuah penderhakaan yang tersembunyi,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar Dan Program Sumbangan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA yang melibatkan seramai 1,200 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said; Pengarah MARA Negeri Melaka Shah Zulmizan Safar; Ketua Sekretariat Yayasan Pelajaran MARA Negeri Melaka merangkap Ketua Puteri UMNO Negeri Melaka Nurul Amirah Mohd Yusof serta Pengetua SMK Sultan Alauddin Badrul Hisham Abd Karim.

Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga Adun Tanjung Bidara berkata, kesediaan untuk bekerjasama itu terbuka kepada rakan kongsi yang boleh memberikan pulangan politik terbaik kepada UMNO Melaka.

“UMNO Melaka sedia untuk membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak dan bukan sahaja PAS,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

490
Kongsi :
Previous post ‘TOK RAUF LOVE YOU TOO’
Next post YAYASAN PELAJARAN MARA BANTU PERKASA AKADEMIK ANAK MELAKA