
YAYASAN PELAJARAN MARA BANTU PERKASA AKADEMIK ANAK MELAKA
LENDU 12 Jun – Usaha memperkasakan bidang akademik anak Melaka turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Yayasan Pelajaran MARA (YPM), kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Ketua Menteri berkata, bukan sekadar menyampaikan sumbangan malah Sekretariat YPM Negeri Melaka melaksanakan pelbagai program bagi menyuntik semangat dan membakar semangat anak jati negeri ini untuk menggapai kecemerlangan dalam pelajaran.
Katanya, Sekretariat YPM Negeri Melaka melaksanakan program untuk meningkatkan motivasi dan kecemerlangan pelajar, termasuk Bengkel Teknik Menjawab MUET dan Program Motivasi Pelajar bersama Skuad YPM.
“Apa dilakukan oleh YPM sebenarnya selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang sentiasa meletakkan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan Melaka. Sejak diberi amanah mentadbir negeri ini, saya meletakkan pendidikan sebagai salah satu keutamaan utama dalam gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).
“Saya percaya, jika kita mahu melihat Melaka terus maju 10 atau 20 tahun akan datang, maka pelaburan terbaik yang boleh dilakukan hari ini adalah pelaburan terhadap anak-anak negeri Melaka,” kata Ketua Menteri.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar Dan Program Sumbangan Bantuan Persekolahan Yayasan Pelajaran MARA yang melibatkan seramai 1,200 orang pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Masjid Tanah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Pelajaran MARA Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said; Pengarah MARA Negeri Melaka Shah Zulmizan Safar; Ketua Sekretariat Yayasan Pelajaran MARA Negeri Melaka merangkap Ketua Puteri UMNO Negeri Melaka Nurul Amirah Mohd Yusof serta Pengetua SMK Sultan Alauddin Badrul Hisham Abd Karim.
Menurutnya, pada program sama YPM turut menyampaikan sumbangan persekolahan berjumlah RM10,000 kepada 100 pelajar terpilih dalam kalangan keluarga asnaf dan B40.
“Usaha murni Yayasan Pelajaran MARA yang sentiasa komited membantu pelajar-pelajar memerlukan ini adalah amat dihargai. Mungkin bagi sesetengah pihak jumlah itu dilihat kecil, tetapi bagi sebuah keluarga sedang bergelut dengan kos sara hidup, bantuan ini cukup besar maknanya.
“Bantuan ini bukan sekadar wang ringgit, tetapi simbol kasih sayang, keprihatinan dan harapan buat penerima,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


