
WRUR PAPAR REALITI PEMIMPIN SAYANG RAKYAT
KESIDANG 13 Jun – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) menjadi saksi gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) bukan sekadar slogan, sebaliknya realiti sebuah pentadbiran Kerajaan Negeri prihatin.
Ia dizahirkan pada WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turun padang menyantuni penduduk di Rumah Pangsa Taman Merdeka.
Kehadiran Ketua Menteri bukan sekadar memenuhi jadual rasmi, malah turut memperlihatkan sisi kepimpinan yang dekat dengan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Sesi ramah mesra itu turut mencuri perhatian apabila Ab Rauf terlihat seorang warga emas berbangsa Cina duduk sendirian di bawah khemah sebelum menyantuni dan mengajaknya makan bersama di meja kenamaan.
Momen itu menjadi lebih menyentuh hati apabila Ketua Menteri sendiri menyuapkan makanan kepada wanita berkenaan sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepada golongan warga emas yang banyak berjasa kepada masyarakat.
Ketika berbual mesra, warga emas itu sempat bertanyakan kepada Ab Rauf mengenai pilihan raya.
Dengan senyuman, Ketua Menteri memberitahu bahawa pilihan raya tidak berlangsung dalam masa terdekat kerana fokus utama beliau ketika ini adalah untuk terus menjaga kebajikan rakyat serta memastikan pembangunan negeri berjalan lancar.
Jawapan ringkas itu disambut dengan senyuman warga emas berkenaan yang seolah-olah menggambarkan keyakinannya terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri pada masa ini.
Selain sesi santunan rakyat, Ketua Menteri turut meluangkan masa meninjau keadaan Rumah Pangsa Taman Merdeka yang telah berusia lebih dua dekad, di mana lawatan itu memberi peluang kepada beliau melihat sendiri keperluan dan cabaran yang dihadapi penduduk setempat.
Beliau turut diberikan taklimat mengenai peruntukan yang telah disalurkan bagi menaik taraf sistem pam dan tangki air rumah pangsa berkenaan bagi memastikan kemudahan asas penduduk berada dalam keadaan lebih baik dan selesa.
Terdahulu, sesi lawatan dan ‘walkabout’ Ketua Menteri itu turut dihadiri Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin.
Turut bersama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Pendekatan turun padang seperti itu jelas mencerminkan konsep pentadbiran yang diamalkan Kerajaan Negeri iaitu mendengar sendiri suara rakyat, memahami permasalahan mereka serta mencari penyelesaian secara terus di lapangan.
Program WRUR yang digagaskan Kerajaan Negeri bukan sekadar platform penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Melalui pendekatan tersebut, pelbagai isu setempat dapat dikenal pasti dengan lebih cepat, manakala bantuan serta tindakan susulan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan.
Lebih penting, program itu turut membuktikan bahawa pembangunan bukan hanya diukur melalui projek fizikal semata-mata, tetapi turut merangkumi sentuhan kemanusiaan, keprihatinan dan kasih sayang terhadap rakyat.
Justeru, WRUR terus menjadi manifestasi sebuah kerajaan yang bukan sahaja mentadbir, malah hadir bersama rakyat, mendengar denyut nadi masyarakat dan memastikan setiap lapisan rakyat menikmati manfaat pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


