Sorting by

×

RM1 JUTA NAIK TARAF RUMAH PANGSA DUN KESIDANG

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

KESIDANG 13 Jun – Kualiti hidup ribuan penduduk rumah pangsa di DUN Kesidang terus menjadi keutamaan apabila kawasan itu menerima peruntukan berjumlah RM1 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi melaksanakan pelbagai kerja naik taraf dan pembaikan kemudahan asas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang, Allex Seah Shoo Chin berkata, peruntukan yang disalurkan itu melibatkan beberapa kawasan rumah pangsa berusia lebih 20 hingga 30 tahun yang memerlukan perhatian segera.

Menurut beliau, antara projek utama yang dilaksanakan ialah penggantian keseluruhan bumbung bagi dua blok di Rumah Pangsa Jalan Pegaga yang melibatkan peruntukan berjumlah RM500,000.

Selain itu, ujar beliau, Rumah Pangsa Taman Merdeka yang telah berusia lebih dua dekad turut menerima manfaat menerusi kerja-kerja menaik taraf sistem paip serta pemasangan pam air baharu yang lebih cekap dan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

Jelasnya, sistem pam baharu itu mempunyai tahap kecekapan yang jauh lebih tinggi berbanding sistem lama sekali gus mampu meningkatkan kualiti bekalan air kepada penduduk.

“Pam baharu ini lebih 10 kali efektif dan mampu beroperasi dengan lebih baik berbanding sistem sedia ada, selain ia juga menjimatkan tenaga. Ini sekali gus akan memberi manfaat jangka panjang kepada penghuni di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh hadir ke Sesi Walkabout Rumah Pangsa Taman Merdeka dan Hari Aduan Rakyat Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datuk Sapiah Haron serta lain-lain kenamaan.

Dalam perkembangan sama, Allex memaklumkan Rumah Pangsa Jalan Abadi yang berusia lebih 30 tahun turut menerima peruntukan bagi membaiki pelbagai kerosakan struktur dan kemudahan awam dari tingkat bawah hingga ke tingkat atas bangunan.

Katanya, kerja-kerja pembaikan itu penting bagi memastikan keadaan bangunan terus selamat dan selesa untuk didiami.

“Turut menerima manfaat ialah penduduk di Pangsapuri Cheng Mutiara yang bakal menikmati penambahbaikan melibatkan sistem paip dan bekalan air,” tambahnya.

Allex berkata, usaha berterusan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan peruntukan tersebut membuktikan komitmen untuk memastikan kebajikan penduduk rumah pangsa sentiasa diberi perhatian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

398
Kongsi :
Previous post MELAKA PERINTIS PEKERTI NEGARA, 12 SEKOLAH DIPILIH FASA PERTAMA
Next post KAD RAHMAH MEDIPULIH BANTU RINGANKAN KOS RAWATAN